Tambahan 3 bulan penangguhan ansuran untuk pelanggan Bank Islam terjejas | DagangNews Skip to main content

Tambahan 3 bulan penangguhan ansuran untuk pelanggan Bank Islam terjejas

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Bank Islam Malaysia Berhad akan meneruskan Bantuan Pembayaran Semula Bersasar Dipertingkatkan (ETRA) untuk para pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Langkah ini selari dengan seruan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada institusi perbankan dan kewangan untuk
membantu peminjam mengikut keadaan kewangan masing-masing, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

 

Selaras dengan Bantuan Pembayaran Bersasar (TRA) sedia ada yang ditawarkan mengikut kelayakan pelanggan, Bank Islam kini menawarkan pelanggan di bawah bantuan moratorium, tambahan 3 bulan penangguhan ansuran pembiayaan.

 

Pelanggan yang sebelum ini memilih untuk mengurangkan bayaran ansuran pembiayaan, mereka layak untuk menerima lanjutan tempoh bayaran selama 6 bulan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ringkas.

 

Bank turut memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan kekal tersedia, termasuk dan tidak terhad kepada hanya TRA, tetapi turut meliputi bantuan jangka panjang lain seperti pakej Penjadualan dan Penstrukturan Semula. 

 

Bantuan turut tersedia kepada pelanggan daripada pelbagai kumpulan pendapatan, perniagaan mikro dan
pelanggan terjejas ekoran pelaksanaan PKP terbaharu ini.

 

Susulan kenyataan yang dikeluarkan BNM dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) pada 12 Mei lalu, Bank Islam menyeru para pelanggan yang sebelum ini telah menerima bantuan pembayaran bersasar tetapi masih memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi pihak bank.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sungguhpun memahami kepentingan
mengekang penularan virus ini, pihaknya juga amat peka akan kesan langkah tersebut terhadap keadaan kewangan pelanggan. 

 

Katanya, sejak bermulanya wabak ini, pihak bank telah menawarkan beberapa pilihan untuk membantu mengurangkan beban kewangan pelanggan. 

 

"Bank Islam sedar bahawa pandemik ini menyebabkan keadaan tidak menentu dan kami menggalakkan pelanggan untuk sentiasa membuat penilaian terhadap keadaan kewangan mereka.

 

"Sekiranya pelanggan memerlukan bantuan, hubungi kami dan kami menyediakan penyelesaian kewangan terbaik untuk membantu mereka mendepani masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

 

ETRA Bank Islam telah diumumkan pada 23 November lalu untuk membantu pelanggan yang memerlukan penangguhan bayaran selama 3 bulan atau pengurangan ansuran bulanan sehingga 50% bagi tempoh 6 bulan. 

 

Bantuan kewangan ini ditawarkan untuk semua pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak
tertunggak lebih daripada 90 hari semasa permohonan dibuat. 

 

Sebelum ini, Bank Islam telah mengumumkan permohonan ETRA akan ditutup pada akhir Jun 2021. - DagangNews.com