Skip to main content

Tambahan syarikat asing rangsang pemulihan sektor penerbangan - MAHB

KUALA LUMPUR 23 Jun - Trafik antarabangsa di lapangan terbang yang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerima dorongan lagi dengan penambahan syarikat penerbangan asing baharu dan perkhidmatan semula oleh lima yang lain pada Mei lepas, menurut MAHB.

 

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan, syarikat penerbangan tambang rendah Kemboja, Lanmei Airlines melancarkan penerbangan mingguan sulung yang menghubungkan Phnom Penh dengan Kuala Lumpur, menggunakan pesawat Airbus A320.

 

“Ia merupakan syarikat penerbangan ketiga, selepas Malaysia Airlines dan AirAsia, yang menyediakan perkhidmatan untuk laluan ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Ia menambah, lima syarikat penerbangan lain yang telah menawarkan kembali perkhidmatan mereka termasuk syarikat penerbangan tambang rendah India, IndiGo yang menghubungkan laluan Chennai dan Tiruchirappalli dengan Kuala Lumpur serta Thai Smile Airways bagi laluan Bangkok-Pulau Pinang.

 

Bagi Malaysia Timur, syarikat penerbangan Royal Brunei menawarkan semula penerbangan dari Brunei ke Kuching dan Kota Kinabalu manakala Jin Air dari Korea Selatan kembali mengoperasikan penerbangan bagi laluan Incheon-Kota Kinabalu, tambahnya.

 

AirAsia Filipina (Z2) juga menyambung semula laluan Manila-Kota Kinabalu.

 

Menurut MAHB, pihaknya merekodkan 1.03 juta pergerakan penumpang antarabangsa pada Mei di Malaysia, mencecah paras satu juta buat kali pertama sejak Mac 2020 apabila sempadan ditutup.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, dengan pembukaan semula sempadan sejak dua bulan lepas, MAHB merekodkan purata peningkatan trafik antarabangsa bulanan melebihi 50%.

 

“Permintaan ada untuk syarikat penerbangan memanfaatkan peluang dan mempercepat pemulihan. Bagi pengendali lapangan terbang, setiap kemasukan syarikat penerbangan asing baharu ke dalam negara menandakan pertumbuhan positif untuk landskap penerbangan,” katanya.

 

Lanmei Airlines merupakan syarikat penerbangan asing kedua baharu yang dialu-alukan oleh MAHB ke negara ini tahun ini, menjadikan keseluruhan 43 rakan syarikat penerbangan asing yang beroperasi dalam rangkaiannya di Malaysia.

 

Sementara itu, Malaysia Airlines dan Japan Airlines (JAL) memaklumkan langkah memperkukuh perkongsian perniagaan bersama dengan memperluas operasi perkongsian kod susulan pengumuman Malaysia Airlines baru-baru ini untuk melancarkan penerbangan langsung baharu dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Haneda, Tokyo mulai 14 Ogos 2022.

 

Langkah itu mengesahkan kembali perkongsian perniagaan bersama strategik yang dimeterai oleh kedua-dua ahli Oneworld Alliance pada Julai 2020 untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan memudahkan perdagangan antara kedua-dua negara, lapor Bernama.

 

“Perkhidmatan dua kali seminggu itu akan dikendalikan menggunakan pesawat A330-300, dilengkapi dengan 290 tempat duduk meliputi 27 tempat duduk kelas perniagaan, 16 tempat duduk ekonomi dengan ruang kaki tambahan dan 247 tempat duduk dalam kelas ekonomi,” menurut kenyataan bersama Malaysia Airlines dan JAL pada Khamis. - DagangNews.com