Skip to main content

Tambang percuma KTM Komuter laluan Lembah Klang selama sebulan, bermula hari ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemberian tambang percuma selama sebulan untuk perkhidmatan KTM Komuter di 57 rangkaiannya bagi laluan Lembah Klang, bermula hari ini. 

 

Tambang percuma akan dinikmati pengguna laluan Batu Caves - Pulau Sebang (Tampin), Tanjung Malim - Pelabuhan Klang dan sebaliknya.

 

Tambang percuma juga turut ditawarkan bagi perkhidmatan Skypark Link yang beroperasi bagi laluan antara KL Sentral ke Terminal Skypark, Subang.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, penumpang masih perlu mengimbas kad Komuter Link di pintu masuk serta pintu keluar seperti biasa. 

 

"Kepada mereka yang tidak mempunyai kad Komuter Link, mereka boleh mendapatkannya di stesen-stesen komuter yang berhampiran. Pengguna yang menggunakan kad Touch n Go juga perlu mengimbas kad tersebut di pintu masuk dan pintu keluar. 

 

“Melalui pengumuman tersebut, ia akan memberi manfaat kepada hampir 40,000 pengguna KTM Komuter Lembah Klang sehari. KTMB mempelawa orang ramai termasuk mereka di luar Lembah Klang untuk menggunakan perkhidmatan ini untuk membawa ahli keluarga beriadah mahupun bercuti di ibu kota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, KTMB menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pemberian perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma selama sebulan, bermula hari ini.

 

Para penumpang dinasihatkan untuk terus memakai pelitup muka semasa berada di premis KTMB dan di dalam tren. 

 

Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang di www.ktmb.com.my. - DagangNews.com