Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid terajui Institut Antarabangsa Universiti UCSI | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid terajui Institut Antarabangsa Universiti UCSI

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Sept - Pakar teknologi alam sekitar terkemuka, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid bakal menerajui badan pemikir, Institut Diplomasi Sains dan Kelestarian Antarabangsa Universiti UCSI sebagai pengarah pengasas.

 

Beliau merupakan Felow Pengasas Majlis Sains Antarabangsa (ISC) serta Pengerusi bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) yang sebelum ini menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

 

Institut yang menghubungkan komuniti saintifik dengan pembuat dasar di rantau ASEAN ini akan memfokus kepada diplomasi alam sekitar, kesihatan global, sekuriti makanan termasuk perdagangan dan kewangan antarabangsa.

 

Selain itu, kumpulan pemikir ini juga akan mempromosikan penyelidikan terhadap pembangunan lestari dan menjalankan program latihan untuk pegawai kerajaan.

 

 

Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid
                                Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid

 

 

Dr Zakri berkata kepentingan diplomasi tidak boleh dipandang sebelah mata lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berdepan cabaran geopolitik.

 

“Cara terbaik berdepan polarisasi yang kian meruncing di dunia adalah dengan komited terhadap usaha bersama melibatkan kepentingan rentas sempadan.

 

“Daripada pengurusan perubahan iklim hingga ke kawalan jangkitan, kita boleh memanfaatkan diplomasi sains untuk memupuk rangkaian tadbir urus yang mampan,” katanya yang disenaraikan sebagai seorang daripada 100 individu berpengaruh di dunia dalam bidang Bioekonomi Lanjutan pada 2017.

 

Dalam pada itu, Naib Canselor UCSI, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata pihaknya yakin penglibatan penerima Anugerah Tokoh Akademik negara itu bakal melahirkan keputusan di luar jangka.

 

“Dr Zakri seorang tokoh yang sangat disegani dan diiktiraf di peringkat global atas sumbangannya terhadap sains serta biodiversiti.

 

“Beliau juga kaya dengan pengalaman dan saya yakin usahanya di UCSI akan membuahkan keputusan luar jangka,” katanya.


 

Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir
Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

 

 

Dr Zakri juga merupakan Felow Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM) yang sebelum ini menjadi Penasihat Sains Perdana Menteri pada tahun 2010 hingga 2018.

 

Beliau juga Penyandang Kelima Kursi Tun Hussein Onn Pengajian Antarabangsa di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia malah sebelum ini beliau merupakan Ahli Lembaga Penasihat Saintifik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu, Ban Ki-moon. - DagangNews.com