Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 19 January 2022

Tangguh Fasa Endemik, Ke Mana Hala Tuju Negara?

 

 

 

KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri telah memutuskan untuk menangguhkan fasa endemik negara. 

 

Kenapa? Ini adalah berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron, selain kesan daripada individu yang kembali daripada luar negara, khususnya yang menunaikan umrah di Arab Saudi serta bencana banjir yang telah melanda negara.

 

Omicron rencatkan pertumbuhan ekonomi?

Dalam usaha negara untuk membangunkan semula ekonomi, kerajaan perlu bertindak segera dan agresif untuk mengawal penularan varian ini. 

 

Jika virus ini gagal dikawal dengan baik, ianya akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang baru sahaja melalui proses pemulihan.

 

Jika dilihat kepada senario negara-negara lain juga, yang tumpuan kini lebih kepada mengekang virus ini daripada tumpuan proses pemulihan ekonomi.

 

Kerajaan jangan leka, Jangan pisang berbuah dua kali!

 

Langkah berhati-hati

Tindakan kerajaan menangguhkan fasa endemik ini dengan mengambil kira dengan keadaan situasi di negara-negara lain di dunia. 

 

Amerika Syarikat, dalam tempoh dua minggu sahaja sudah mencatatkan jumlah jangkitan wabak COVID-19 mencecah satu juta kes dalam tempoh sehari dan terkini dilaporkan mencecah sehingga 500,000 kes sehari.

 

Negara Australia yang sebelum ini berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) turut merekodkan jumlah jangkitan 60,000 kes sehari.

 

Walaupun varian ini masih terkawal di Malaysia, langkah berhati-hati perlu diambil oleh kerajaan kerana jika berlaku penularan secara besar-besaran akan menjejaskan kesihatan rakyat, selain memberi tekanan kepada Kementerian Kesihatan.

 

covid

 

Perketat SOP sedia ada

Jika kita lihat sekarang, Prosedur Standard Operasi (SOP) berkaitan dengan COVID-19 sudah mulai longgar diamalkan. Kita tidak mahu dengan apa yang negara alami sebelum ini berlaku lagi.

 

Kerajaan perlu memperketatkan semula SOP COVID-19 bagi terus mengekang penularan virus Omicron yang sedang melanda negara.

 

Antara pelan dan garis panduan yang boleh terus dinilai dan diperkasa ialah:

 

  1. Sistem Amaran dan Tindakan (HAS)
  2. Strategi Ujian Kebangsaan; Test, Report, Isolate, Inform, Seek (TRISS);
  3. Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support (FTTIS);

 

Contohi China dengan langkah sifar COVID-19

Dalam isu mengawal penularan virus ini, Malaysia boleh mencontohi China. China yakin bahawa kesan Omicron lebih kecil dan rendah berbanding penularan ancaman varian sebelum ini. 

 

China yang merupakan antara pasaran terbesar serantau melaksanakan langkah yang lebih ketat untuk membendung gelombang virus ini.

 

Dengan langkah yang lebih ketat ini, ekonomi China mengamalkan langkah sifar COVID-19 dengan pembukaan hampir semua sektor ekonomi negara tanah besar dengan.  Dengan situasi ini, ia menarik lebih ramai pelabur untuk rantau ini.

 

Dengan strategi sifar COVID-19 oleh China, menarik perhatian negara lain di dunia untuk melaksanakan kaedah yang sama seperti yang China lakukan.

 

volatiliti

 

Percepatkan Pemberian Vaksin Penggalak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan vaksin COVID-19 didapati menjadi kurang berkesan dalam empat hingga enam bulan.

 

Namun, rakyat tidak perlu risau, dua dos vaksin yang telah diambil masih mampu memberikan `perlindungan ketara’ terhadap rakyat untuk mengalami kesan yang teruk seperti kemasukan ke hospital dan kematian.

 

Dos penggalak adalah alternatif yang boleh memainkan peranan penting dalam mengekang penyebaran COVID-19.

 

Dos ini perlu segera diberi terutamanya kepada kumpulan berisiko tinggi yang masih menunggu suntikan vaksin penggalak ini kerana kekangan bekalan.

 

Langkah kerajaan mewujudkan semula Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di daerah kawasan dengan kepadatan penduduk yang ramai bagi mendapatkan dos penggalak COVID-19 dilihat sebagai satu inisiatif yang baik dalam usaha meningkatkan kadar penerima dos penggalak ini.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (PICK-B) dilihat mula mendapat sambutan rakyat kerana kebimbangan dan kerisauan rakyat atas faktor keselamatan kesihatan mereka.

 

volatiliti

 

Pembukaan Sempadan Percepatkan Pertumbuhan Ekonomi

Walaupun tindakan menangguhkan fasa endemik dek kerana virus Omicron ini, kerajaan perlu untuk membuka sempadan semula dengan lebih cepat.

 

Bukan tak bimbang dengan penularan virus Omicron ini dengan pembukaan sepadan menyebabkan virus ini boleh merebak dengan lebih cepat tetapi memikirkan sektor pelancongan yang paling teruk terjejas dan memerlukan pemulihan segera masa ini.

 

Negara telah pun mengalami kerugian lebih RM90 bilion kesan daripada penutupan sempadan dan sektor pelancongan.

 

Namun begitu, kerajaan jangan terlalu “gopoh” untuk membuka sempadan secara besar-besar lagi. Pembukaan sepadan ini perlu secara berperingkat dan berhati-hati.

 

Pembukaan sepadan ini boleh merancakkan ekonomi negara dan negara boleh mencapai  sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5.5% hingga 6.5% pada tahun 2022 ini.

 

Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 % pada tahun 2022 ini disokong pemulihan permintaan luaran dan domestik.

 

volatiliti

 

 

KL ATCC dan Limpahan Ekonomi

Walaupun momentum pertumbuhan ekonomi masih menjadi tanda tanya, pengoperasian Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dilihat akan memberi kesan yang positif yang akan membawa limpahan ekonomi kepada negara.

 

KL ATCC menyediakan sistem dan peralatan kawalan trafik udara yang baharu dan lebih efisien dan ia akan mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara Malaysia setanding negara maju di dunia.

 

Situasi ini dijangka akan melibatkan pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang terhasil yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara, terutama dalam sektor penerbangan awam.

 

Industri penerbangan awam negara yang mengalami kejatuhan teruk sepanjang tahun 2020-2021 akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa sudah mula menunjukkan trend peningkatan semula dan industri ini dijangka boleh pulih sepenuhnya menjelang 2025.

 

Pelaburan pada Momentum Positif

Dalam situasi semasa, negara pada kadar momentum positif dengan pelabur melihat prospek lebih jelas berhubung pembukaan sempadan negara secara berperingkat dan ekonomi domestik secara menyeluruh.

 

Minat pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dalam sektor pembuatan, elektrik & elektronik (E&E) meraih minat majoriti pelabur untuk melabur di Malaysia.

 

volatiliti

 

Utamakan Agenda Negara

Dalam kerajaan masih “bergelut’ dengan isu kesihatan, kebajikan rakyat pasca banjir dan memacu hala tuju negara dalam pertumbuhan ekonomi, ada ahli politik masih lagi menjadikan kepentingan negara bukan agenda utama.

 

Khabar angin mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan. Sepatutnya ahli politik perlu lebih memikirkan sumbangan mereka dalam membantu kerajaan dan negara dalam membawa hala tuju negara yang lebih baik.

 

Walaupun sejarah PRN Melaka dan Sarawak tidak melibatkan kenaikan kes jangkitan yang tinggi, ahli politik perlu memikirkan risiko rakyat jika PRN diadakan.

 

Janganlah menggadai nyawa rakyat dengan PRN dalam keadaan virus Omicron yang sedang melanda. Lebih baik fikir bagaimana nak bantu negara dari kepentingan parti dan peribadi!   - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags