Tanpa kehadiran pemain handalan dunia, Zii Jia berpeluang raih kejuaraan di Terbuka Hylo | DagangNews Skip to main content

Tanpa kehadiran pemain handalan dunia, Zii Jia berpeluang raih kejuaraan di Terbuka Hylo

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Walaupun berdepan kemersosotan prestasi selepas mengharungi empat kejohanan berturt-turut, pemain badminton perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia masih berpeluang untuk meraih kejuaraan kedua tahun ini selepas kejayaan di All England.

 

Dia akan memulakan aksi dalam saingan Terbukan Hylo di Jerman bermula hari ini dan merupakan pilihan kedua di belakang pemai Taiwan, Chou Tien Chen.

 

Pemain berusia 23 tahun itu berpeluang cerah untuk mencipta kejuaraan di kejohanan berstatus Siri Jelajah Super 500 selepas ketiadaan pemain utama dunia seperti Viktor Axelsen dan Kento Momota.

 

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata,  Zii Jia sedang mengharungi fasa penting dalam kerjayanya apabila perlu beraksi dalam kejohanan besar secara berturut-turut.

 

"Saya rasa tahap fizikalnya masih baik tetapi cabaran adalah lebih kepada kekuatan mental. 

 

"Ini cabaran yang perlu diatasinya, dia perlu tahu apa yang diperlukan untuk bermain dengan tahap optimum dalam situasi seperti ini.

 

"Ini satu pengalaman penting untuk dia, supaya dia lebih mengetahui dan boleh melangkaui jangkaan untuk diri sendiri, serta bersedia untuk cabaran lebih sengit pada masa akan datang," katanya.

 

Choong Hann berkata, pemain kelahiran Alor Setar itu perlu segera belajar untuk memastikan kecergasannya sentiasa pada tahap tertinggi sekaligus menampilkan prestasi terbaiknya dalam setiap kejohanan.

 

Di Terbuka Perancis sebelum ini, Zii Jia nyata tidak berada pada tahap prestasi terbaiknya apabila dikejutkan oleh pemain ranking ke-40 dunia dari Singapura, Loh Kean Yew pada pusingan pertama minggu lalu selain tewas di suku akhir kepada Axelsen di Terbuka Denmark.

 

Selain Terbuka Perancis dan Denmark, pemain utama negara itu turut mengetuai cabaran Malaysia dalam saingan Piala Thomas dan Piala Sudirman.-DagangNews.com