Tasco dijangka jimat hingga RM4.0 juta daripada insentif cukai | DagangNews Skip to main content

Tasco dijangka jimat hingga RM4.0 juta daripada insentif cukai

Tasco Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangmews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Syarikat pengendali logistik, Tasco Berhad dijangka akan menikmati penjimatan sebanyak RM3.0 hingga RM4.0 juta susulan insentif cukai yang diberi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MIDF Research berkata, jangkaan penjimatan itu adalah untuk tahun kewangan 2021 dan 2022.

"Kami anggarkan penjimatan cukai itu dengan mengambil kira faktor keuntungan sebelum cukai (PBT) dengan jangkaan cukai korporat pada tahap 24%. 

"Kami juga menilai kepada pengimbangan 70% terhadap anggaran pendapatan berkanun (statutory income) yang kami jangkakan," jelas MIDF Research.

Tambah MIDF Research, pengiraan tersebut adalah untuk menggambarkan kesan dominan insentif cukai kepada Tasco.

Semalam, Lembaga Pengarah Tasco dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, syarikatnya telah menerima surat kelulusan insentif cukai kali kedua dari MIDA bagi menjalankan aktiviti Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS).

Insentif tersebut membolehkan Tasco menikmati pengecualian cukai pendapatan melalui Elaun Cukai Pelaburan (ITA) sebanyak 60% daripada perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun.

Surat kelulusan yang diterima itu turut menyatakan syarat yang harus dipenuhi oleh Tasco seperti peningkatan pelaburan sebanyak 50% dalam pelaburan aset tetap berkaitan logistik.

Selain itu, Tasco juga perlu meningkatkan pelaburan aset tetap sebanyak 30% di atas aset yang ada bergantung kepada peruntukan modal pelaburan syarikat.

Tambah MIDF Research, pihaknya turut membuat semakan semula terhadap ramalan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat berkenaan.

"Kami menyemak semula ramalan EPS bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 kepada 8.8sen dan 9.75 sen berbanding sebelumnya sebanyak 7.3 sen dan 8.3 sen," tambahnya lagi. - DagangNews.com