Tawaran Felda ditangguh lagi kepada 15 Mac 2021 | DagangNews Skip to main content

Tawaran Felda ditangguh lagi kepada 15 Mac 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Lembaga perladangan terbesar negara, Felda menangguhkan lagi tempoh penerimaan tawaran pengambilalihan kepentingan dalam FGV Holdings Berhad (FGV) kepada 5 petang pada 15 Mac depan. 

 

Namun, Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) yang mewakili Felda memberitahu, itu merupakan tarikh akhir untuk pemegang kepentingan FGV menghantar dokumen penerimaan dan tidak akan ditangguh lagi selepas ini. 

 

“Notis Tarikh Tutup Akhir akan diserahkan kepada pemegang ekuiti dengan sewajarnya,” jelas Maybank IB dalam sebuah kenyataan. 

 

Tarikh penghantaran dokumen penerimaan tawaran itu sepatutnya diserahkan pada 5 petang, 2 Mac ini. 

 

Tarikh itu juga telah ditangguhkan oleh Felda yang sepatutnya berakhir pada 16 Februari lalu.

 

Baca : Felda tangguh tawaran kepada FGV hingga 2 Mac

 

Dalam kenyataan itu, Maybank IB sekali lagi menegaskan bahawa Felda tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Securities. 

 

“Oleh itu, sekiranya pemberi tawaran (Felda) memperoleh penerimaan sah yang membawa kepada pemberi tawaran dan pihak bersekutunya memegang 90% agregat atau lebih daripada saham FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan), pengumuman segera akan dibuat oleh FGV. 

 

“Selepas pengumuman itu, Bursa Securities akan menggantungkan dagangan saham FGV serta merta sebaik sahaja tamat lima hari pasaran dari Tarikh Tutup.

 

“Seterusnya, pemberi tawaran akan menghantar permohonan kepada FGV untuk mengambil prosedur sepatutnya bagi menarik balik status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi mengikut Bab 16 Syarat Penyenaraian,” jelas Maybank IB.

 

Setakat 5 petang semalam, Felda dan pihak bertindak bersama (PAC) telah meningkatkan pegangan saham FGV kepada 76.32% atau 2.78 bilion unit. 

 

Terdahulu, Felda mengumumkan untuk menawarkan ambil alih mandatori ke atas saham minoriti FGV dengan nilai RM1.30 sesaham. - DagangNews.com