Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Harga yang ditawarkan Felda kepada FGV Holdings Bhd. dalam cadangan pengambilalihan pada RM1.30 sesaham disifatkan tidak adil dan berada di bawah nilai saksama oleh RHB Investment Bank (RHB IB).
Bank itu dilantik oleh FGV sebagai penasihat bebas untuk tawaran berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, FGV berkata, RHB IB berpendapat bahawa tawaran itu ‘tidak adil tetapi wajar’ berdasarkan penilaiannya dan mengesyorkan pemegang saham untuk menerima tawaran tersebut.
"Tawaran ini ‘tidak adil’ kerana harga tawaran lebih rendah dan mewakili potongan antara RM0.12 (8.5%) dan RM0.30 (18.8%) melebihi julat nilai per saham FGV yang diperoleh menggunakan kaedah penilaian bahagian antara RM1.42 dan RM1.60," jelasnya.
Bagaimanapun, penilaian 'wajar' RHB IB pula mengambil kira FGV belum menerima cadangan alternatif untuk saham tawaran (termasuk sebarang tawaran untuk memperoleh aset dan liabiliti kumpulan FGV.
Malah, Felda dan pihak-pihak yang bertindak bersamanya mempunyai pegangan saham kolektif sebanyak 54.09% (pada 15 Januari 2021) yang memberi mereka kawalan terhadap perkara-perkara dan dapat menentukan hasil resolusi yang dicari dalam mesyuarat agung FGV.
"Selain itu, Felda tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV dan sekiranya Felda berjaya, pemegang saham tidak akan dapat memperdagangkan sekuriti FGV di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
"Apabila Felda mengumpulkan tahap pegangan saham yang lebih tinggi sebagai hasil penerimaan yang sah dan atau pengambilalihan selanjutnya, pencairan saham FGV mungkin menghadapi kekangan," katanya.
FGV memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan Pekeliling Nasihat Bebas (IAC) kepada semua pemegang sahamnya berkaitan tawaran pengambilalihan mandatori tidak bersyarat oleh Felda melalui Maybank Investment Bank Berhad.
Ini untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan) yang belum dipegang oleh Felda dan pihak-pihak yang bertindak bersama dengannya termasuk semua saham FGV di bawah rancangan insentif jangka panjang FGV (saham tawaran) dengan pertimbangan tunai sebanyak RM1.30 sesaham.
Menurut syarikat berkenaan, IAC bertujuan memberi para pemegang saham tawaran maklumat yang relevan mengenai tawaran tersebut dan pandangan dan saranan Ahli Lembaga Pengarah FGV (kecuali pengarah-pengarah yang berkepentingan) mengenai tawaran bersama pandangan dan cadangan RHB IB.
Para Pemegang saham disarankan untuk membaca IAC, yang terdiri daripada surat Lembaga Pengarah dan surat nasihat bebas dari RHB IB, bersama dokumen tawaran bertarikh 12 Januari 2021 yang mengandungi perincian mengenai tawaran itu.
Namun, jelasnya, pengarah-pengarah FGV tidak berkepentingan terdiri daripada Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Datuk Mohd Anwar Yahya, Datin Hoi Lai Ping, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Dr. Nesadurai Kalanithi, mengesyorkan kepada para pemegang untuk menolak tawaran Felda.
"Saranan mereka dibuat setelah meneliti syarat dan ketentuan tawaran dan rasional untuk tawaran dan rancangan masa depan untuk kumpulan FGV dan petugasnya seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Tawaran.
"Ini juga dibuat setelah mempertimbangkan pendapat, pandangan dan cadangan oleh RHB IB sebagaimana dinyatakan dalam IAC," katanya.
Mengapa mereka tidak bersetuju? Ini penjelasannya :
- Harga tawaran adalah tidak adil kerana ia berada di bawah nilai saksama oleh RHB IB antara RM1.42 hingga RM1.60 setiap saham FGV, atau 8.5% hingga 18.8% di bawah nilai saksama bagi saham FGV
- Sejak 2019, pengurusan FGV telah melaksanakan program transformasi (iaitu Rancangan Perniagaan 2019-2021) yang memberi fokus kepada peningkatan operasi dan pengukuhan tadbir urus dan pertanggungjawaban sejajar dengan status FGV sebagai syarikat senaraian awam
- Menjadi syarikat senaraian awam, FGV akan memastikan ketelusan dan pelaporan dari semasa ke semasa sebagai salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia dari segi pengeluaran minyak sawit mentah dengan lebih 3 juta tan metrik dihasilkan pada 2019 (kira-kira 15.5% daripada pengeluaran Malaysia dan 4.1% pengeluaran dunia) serta mempunyai kesan yang besar terhadap kepentingan awam dan dunia korporat Malaysia
- Pada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 sesaham dan kini ditawarkan untuk diperoleh pada harga RM1.30 sesaham dan dengan mempertimbangkan peningkatan yang signifikan terhadap kualiti aset perladangan FGV sejak IPO, para pengarah tidak berkepentingan tidak dapat dengan nurani yang jelas untuk mengesyorkan tawaran sebagai 'wajar' kepada para pemegang saham minoriti FGV. Ini juga termasuk peneroka dan pekerja Felda dan FGV. Penambahbaikan yang telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti aset ladang antara lain termasuklah peningkatan profil umur dari 16.25 tahun pada 2012 menjadi 13.77 tahun pada 2019 melalui usaha penanaman semula yang agresif, yang melibatkan sekitar RM5.3 bilion sejak 2012 untuk menampung kos penanaman semula, penambahbaikan perumahan pekerja, kos baja serta peningkatan saiz bank tanah sejak IPO daripada 382,603 hektar kepada 439,230 hektar pada 2019 (tidak termasuk bank tanah yang dipegang di bawah usaha sama dan syarikat bersekutu)
Sehubungan itu, pemegang mempunyai tempoh sehingga pukul 5.00 petang pada Selasa, 2 Februari 2021 untuk menerima tawaran, kecuali disemak atau dilanjutkan sesuai dengan Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Perolehan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
FGV memaklumkan, sebarang semakan atau lanjutan tersebut akan diumumkan oleh Maybank Investment Bank Berhad, bagi pihak Felda, sekurang-kurangnya 2 hari sebelum tarikh tutup.
"Pemberitahuan mengenai perkara ini akan diposkan kepada pemegang saham dengan sewajarnya. FGV akan sentiasa melindungi kepentingan pemegang saham dan kami akan membuat pengumuman yang relevan pada waktu yang sesuai," katanya. - DagangNews.com