Tawaran KLK munasabah, IJM setuju jual 56.2% kepentingan | DagangNews Skip to main content

Tawaran KLK munasabah, IJM setuju jual 56.2% kepentingan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Salah satu syarikat kontraktor utama di Malaysia, IJM Corporation Berhad (IJM) bersetuju untuk melupuskan 56.2% kepentingannya dalam IJM Plantations Berhad (IJMP) kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK). 

 

Harga tawaran itu dilihat munasabah dan wajar oleh IJM selepas mengambil kira beberapa faktor, menurut makluman kumpulan di Bursa Malaysia yang diwakili AmInvestment Bank Berhad (AmInvestment Bank), lewat petang ini. 

 

“Nilai Tawaran itu premium terhadap harga urus niaga IJMP sebelum ini.

 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, AmInvestment Bank ingin mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah, selepas perbincangan bersetuju untuk menerima tawaran (KLK) dan syarikat pada 11 Jun 2021 telah memeterai Perjanjian Jual dan Beli (SPA) saham muktamad dengan KLK bagi pelupusan saham, mewakili 56.20% kepentingan dalam IJMP, kepada KLK dengan nilai tunai sebanyak RM1,534,083,937 (berdasarkan RM3.10 sesaham).

 

“Melihat kepada kepentingan pemegang saham utama dan pengarah IJM dalam Cadangan Pelupusan seperti mana dijelaskan lebih lanjut dalam Seksyen 8 pengumuman ini, Cadangan Pelupusan dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan (RPT) mengikut Perenggan 10.08 Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities),” jelas pengumuman itu.

 

KLK secara rasmi mengumumkan bahawa kumpulan itu telah membuat tawaran pengambilalihan kepentingan dalam IJMP pada 9 Jun lalu.

 

Baca : IJM Plantations: Terima sahajalah tawaran KLK - Penganalisis

 

Dalam tempoh lima hari perniagaan bagi pelaksanaan SPA itu, KLK perlu membayar 2% daripada nilai pelupusan berkenaan kepada IJM sebagai deposit cengkeram (earnest deposit). 

 

Tambah makluman itu lagi, kedua-dua pihak mengesahkan dan bersetuju bahawa pembayaran selebihnya akan dilaksanakan sesuai dengan peraturan penjelasan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia Securities Clearing Sdn. Bhd. dan peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn. Bhd.

 

Tarikh tutup bagi penjualan dan pembelian saham itu akan berlaku ketika akaun sekuriti KLK dikreditkan dengan saham jualan dan akaun bank broker saham IJM atau syarikat itu sendiri telah dikreditkan dengan bayaran yang selebihnya.

 

Baca : KWSP jual 54,000 saham IJM Plantations

 

Selepas langkah pelupusan itu selesai, IJM dan anak-anak syarikatnya dijangka mencatatkan keuntungan proforma sekitar RM699.89 juta.

 

“Cadangan Pelupusan itu sejajar dengan objektif strategik kumpulan untuk menyelaraskan perniagaan kumpulan bagi memberi tumpuan terhadap pembinaan, pembangunan hartanah, konsesi infrastruktur dan pembuatan bahan bangunan, semuanya dijangka memberikan lebih banyak faedah sinergi kepada kumpulan pada masa hadapan. 

 

“Persekitaran harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh dan prestasi baik oleh syarikat perladangan telah membuka pintu pelupusan saham,” tambah makluman itu lagi. - DagangNews.com