Tawaran saham persendirian, jana pertumbuhan Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Tawaran saham persendirian, jana pertumbuhan Serba Dinamik

 

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Cadangan tawaran penempatan persendirian akan membolehkan Serba Dinamik Holdings Bhd. mengurus tahap mudah tunai dan penggearan untuk membiayai operasi semasa serta pertumbuhan masa depan syarikat. 

 

Malah, cadangan penempatan itu turut membabitkan sehingga 101.05 juta saham kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah atau kepada orang yang berkaitan dengannya, mewakili sehingga tiga peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat. 

 

"Ini juga akan menyebabkan aliran tunai syarikat dapat dipertingkatkan, kecairan, penjimatan kos faedah dan tahap penggearan yang lebih baik,” kata Abdul Karim dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu semalam meluluskan resolusi bagi cadangan tawaran penempatan persendirian yang melibatkan sehingga 336.83 juta saham. 

 

Ia mewakili kira-kira 10% daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat sehingga 30 November 2020, yang merupakan tarikh praktikal terkini sebelum pengumuman itu, yang pertama kali diberitahu kepada Bursa Malaysia pada 8 Disember 2020. 

 

Sebahagian daripada dana yang dikumpul daripada langkah ini akan digunakan sebagai modal kerja untuk projek-projek di Abu Dhabi, yang merangkumi pembinaan pusat data, kemudahan termasuk pembangunan hab inovasi bersama-sama dengan infrastruktur teknologi maklumat yang berkaitan. 

 

Mohd. Abdul Karim berkata, hasil daripadanya juga akan digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran di Limbungan Teluk Ramunia yang terletak di Kota Tinggi, Johor. 

 

"Kemudahan ini terdiri daripada pembersihan tapak, baik pulih fasiliti bangunan sedia ada, pembelian dan pemasangan jentera berat serta peralatan yang berkaitan dengan perkhidmatan fabrikasi," katanya.

 

Harga terbitan tawaran saham penempatan, dengan diskaun tidak lebih daripada 10%, akan ditentukan melalui pelaksanaan pembinaan tempahan dan akan ditetapkan berdasarkan harga pasaran jumlah purata saham Serba Dinamik untuk 5 hari pasaran sejurus sebelum tarikh penetapan harga.

 

Serba Dinamik dilaporkan berkata, cadangan penempatan persendiriannya akan meningkatkan penggearan bersih syarikat kepada antara 0.5 kali dan 0.6 kali berbanding 0.88 kali selepas selesai langkah itu pada Januari 2021. - DagangNews.com