Tayar Michelin 100% lestari menjelang 2050 | DagangNews Skip to main content

Tayar Michelin 100% lestari menjelang 2050

Tayar Michelin

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Syarikat mobiliti terkemuka, Michelin Group (Michelin) komited untuk menjadikan produk tayar keluarannya bertaraf 100% lestari menjelang tahun 2050.

 

Michelin berkata, ia diilhamkan daripada konsep tayar VISION yang diperkenalkan pada tahun 2017, iaitu solusi berciri tanpa udara, terhubung, mampu disesuaikan, serta bersifat lestari sepenuhnya.

 

"Kini hampir 30% daripada komponen sesebuah tayar yang dihasilkan oleh kumpulannya diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi, dikitar semula atau bersifat lestari.

 

"Tayar Michelin merupakan produk berteknologi tinggi yang mencakupi lebih daripada 200 jenis bahan. Getah semulajadi merupakan komponen yang paling utama, di samping bahan-bahan yang lain seperti getah sintetik, logam, gentian, termasuk komponen yang memperkukuhkan struktur tayar seperti karbon hitam, silika dan pemplastik.

 

"Disatukan dengan nisbah yang sempurna, bahan-bahan ini berinteraksi antara satu sama lain untuk membawakan keseimbangan yang optimum dari segi prestasi, kebolehpanduan dan keselamatan, di samping mengurangkan impak tayar berkenaan terhadap alam sekitar," jelas kumpulan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kematangan Michelin dalam teknologi material adalah hasil daripada keupayaan R&D yang ditunjangi oleh 6,000 individu yang berkhidmat dalam tujuh buah pusat penyelidikan dan pembangunan di seluruh dunia, selain mahir dalam 350 bidang kepakaran.

 

Komitmen yang diberikan oleh para jurutera, penyelidik, ahli kimia dan pembangun telah menjurus kepada pemfailan 10,000 paten yang mencakupi aspek reka cipta dan pembuatan tayar.

 

Syarikat tersebut juga menjalinkan kerjasama dengan Axens dan IFP Energies Nouvelles yang mengetuai projek BioButterfly dan bersama Michelin sejak 2019.

 

Selain itu, kerjasama bersama Pyrowave berpangkalan di Kanada yang dimeterai pada November 2020 mampu menghasilkan stirena daripada plastik selepas dikitar semula, iaitu plastik yang ditemui dalam pempakejan produk seperti bekas yogurt dan dulang makanan, atau dalam panel insulasi.

 

"Michelin telah mengumumkan pada Februari 2021 bahawa ia bakal melancarkan pembinaan kilang miliknya bagi tujuan pengitaran semula tayar, iaitu yang pertama di dunia bersama Enviro. 

 

"Syarikat Sweden ini telah membangunkan teknologi berpaten untuk memulihkan karbon hitam, minyak pirolisis, keluli, gas, dan bahan-bahan baharu lagi berkualiti tinggi yang lain daripada tayar yang telah tamat tempoh hayatnya.

 

"Ia dapat membolehkan seluruh bahan yang terkandung di dalam tayar ini dipulihkan dan digunakan semula dalam proses pembuatan berasaskan getah yang lain," jelas Michelin.

 

Lebih menarik, Michelin turut menyokong ekonomi pekeliling (circular economy) melalui penyertaan dalam konsortium BlackCycle Eropah bagi menghimpunkan 13 rakan kongsi dari sektor awam dan swasta untuk mencipta proses pembuatan tayar baharu daripada tayar tamat hayat. - DagangNews.com