TCG pecah rekod jualan tiket penerbangan baharu ketika COVID-19 | DagangNews Skip to main content

TCG pecah rekod jualan tiket penerbangan baharu ketika COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Syarikat permulaan yang menghubungkan industri penerbangan dengan pengguna, T-Commerce Gateway (TCG) mencatatkan jualan tiket penerbangan baharu.

 

“Kami telah mencecah jualan tiket penerbangan baharu pada November, mencapai rekod tertinggi sebanyak RM2.4 juta.

 

“Prestasi itu didorong oleh model perniagaan yang kukuh kepada industri pelancongan udara yang bebas daripada syarikat penerbangan atau ejen pelancongan dalam talian,” jelas pengasas syarikat pemilik TCG iaitu Alpha Red Services, KC Cheah dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

KC Cheah
KC Cheah

 

Jelas Cheah, kejayaan platform itu susulan model perniagaan TCG yang tahan lasak sekali gus mendorong peningkatan dalam hasil kewangan syarikat.

 

“Oleh kerana penjualan tiket ini hasil harga perjalanan udara domestik yang lebih rendah, perniagaan kami telah menyaksikan margin yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan,” katanya lagi.

 

TCG merupakan platform perniagaan ke perniagaan (B2B) yang mengedarkan tiket penerbangan dengan secara langsung menghubungkan pengguna dan syarikat penerbangan.

 

Ekoran perjalanan udara domestik diperluaskan ke rantau jaringan mampan TCG, syarikat itu dapat memanfaatkan lonjakan berkenaan dan seterusnya mendorong kepada pemulihan kewangan yang kukuh.

 

Menerusi kenyataan sama, TCG berhasrat untuk mengumpulkan RM3 juta di platform penjanaan ekuiti (ECF), pitchIN untuk memenuhi permintaan.

 

Cheah menjangkakan pemulihan yang mengukuh bagi tahun ini dengan pasaran secara beransur-ansur mula dibuka diikuti oleh pemulihan penuh bagi permintaan global menjelang 2023.

 

“Dana yang dikutip itu akan digunakan sebagai modal bekerja memandangkan kami akan memperluas kerjasama dengan syarikat penerbangan dan menyokong permintaan yang kian meningkat dengan lebih banyak perolehan rakan kongsi portal pelancongan (terutamanya agensi pelancongan dalam talian),” tambahnya.

 

TCG dihubungkan dengan beberapa agensi pelancongan dalam talian yang terkemuka di China di mana rangkaian platform mereka menerima lebih 20 juta carian harian.

 

Untuk rekod, TCG telah memproses lebih daripada 50,000 tempahan sejak diasaskan pada pertengahan 2018.

 

Selepas mencatatkan prestasi positif pada suku keempat 2020, TCG menyasarkan nilai transaksi tempahan kasar pada 2021 sebanyak AS$18.77 juta. – DagangNews.com