Skip to main content

Teka-teki SPV terjawab, CGS-CIMB kekalkan pandangan neutral

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. -Jika syarikat tujuan khas (SPV) dilaksanakan dengan baik, ia akan menghasilkan kadar penggunaan rangkaian dan pulangan pelaburan yang lebih baik, menurut CGS-CIMB. 

 

Malah, firma itu juga berpendapat ia juga dapat mengelakkan sebarang kos awal daripada pelancaran di kawasan penggunaan rendah yang akan membebankan keseluruhan akses kos borong.  

 

Seperti dijangka, SPV akan berusaha untuk mengelakkan penduaan infrastruktur rangkaian dan akan menggunakan menara atau gentian sedia ada, katanya. 

 

"Dan menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), walaupun pelancaran ini didorong oleh bekalan, tetapi SPV akan melibatkan syarikat telekomunikasi (contohnya pelanggan secara borong) untuk mengetahui di mana sepatutnya pelancaran pertama patut dibuat (seperti di kawasan yang mempunyai penembusan 5G tinggi).

 

"Bagi kami, ini adalah masuk akal terutama jika dilaksanakan dengan baik," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Pelancaran 5G menerusi SPV 'mengejutkan' : CGS-CIMB

 

Baca : Pelaburan RM15 bilion, 5G boleh dinikmati hujung tahun ini

 

 

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, SPV yang akan dilancarkan tidak lama lagi akan menjadi pemilik tunggal teknologi 5G dan akan diberikan lesen untuk menyediakan spektrum jalur secara borong.

 

Pengedaran spektrum 5G hanya akan dilaksanakan menerusi SPV yang dimiliki Kementerian Kewangan.

 

Malah, beliau juga menegaskan, ia adalah akses terbuka, setara dan harga kompetitif yang ditentukan dengan tepat oleh kos akhir kepada pengguna.

 

Harga borongnya akan telus dan SPV kerajaan tidak akan memasuki ruang pemasaran runcit, yang mana mereka hanya akan berurusan dengan pengedaran borong.

 

SKMM juga menegaskan, syarikat telekomunikasi tidak dibenarkan untuk mengolah semula spektrum yang tersedia bagi penggunaan 5G bagi memastikan fokus diberikan kepada memperluaskan rangkaian 4G.

 

Menurut CGS-CIMB, SKMM akan memperuntukkan 700MHz (jalur lebar yang tepat akan dinyatakan dalam Pelan Spektrum Kebangsaan), 3.5GHz (jalur lebar : 200MHz) dan 28GHz (jalur lebar : 1.6GHz) spektrum kepada SPV. 

 

"Kami percaya ini akan mewakili sebahagian besar, jika tidak kesemuanya, spektrum 5G yang sedia ada," katanya.

 

"Meskipun spektrum 5G baru tersedia untuk masa depan tetapi tanggapan kami ia tetap akan diberikan kepada SPV sebagai rangkaian tunggal 5G di negara ini," katanya. 

 

Menurut firma itu, berdasarkan pandangannya, sebarang ketidaktentuan berkaitan kecekapan kos SPV dalam pelancaran rangkaian 5G ini sebahagiannya bergantung kepada bayaran yang diperlukan untuk menyewa infrastruktur sedia ada dan dari siapa.

 

"Ini kerana pelancaran yang mahal kemungkinan akan menyebabkan bayaran akses borong lebih tinggi dan mengurangkan manfaat penjimatan kos kepada syarikat telekomunikasi (sebaliknya mungkin terpaksa bersaing dengan harga runcit yang rendah ekoran kurangnya perbezaan rangkaian)," katanya. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor telekomunikasi dan percaya inisiatif MyDigital sebahagian besar akan memberi impak neutral ke atas pengendali mudah alih. 

 

"Telekom Malaysia Bhd. sepatutnya mendapat kelebihan daripada pajakan infrastruktur gentian kepada SPV bagi pelancaran 5G dan juga melihat permintaan yang tinggi bagi pusat datanya apabila kerajaan memindahkan 80% data awam kepada awan hibrid menjelang akhir 2022," katanya. - DagangNews.com