Skip to main content

Teladan dan Iktibar Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW semasa COVID-19 ini (SURAT PEMBACA)

Gambar Masjid Negeri Selangor iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam adalah karya Fahrul Azmi.
 

 

Saudara Pengarang,

 

 

LAZIMNYA, ketibaan bulan Muharram yang menandakan kedatangan tahun baru Hijrah pada setiap tahun, maka peristiwa hijrah Nabi SAW dari kota Makkah ke kota Madinah akan dibicarakan dan dijadikan iktibar oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

 

Bulan Muharram juga sebagai medan untuk masyarakat Islam bermuhasabah dan memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan. Ianya bertujuan untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi Muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

 

Peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah berlaku bukan suatu kebetulan dan tanpa proses berfikir, sebaliknya penuh dengan strategi dan perancangan yang tersusun rapi bagi mencapai tujuan dan objektif kejayaan dakwah Islam.

 

Keutamaan dan kelebihan melakukan hijrah telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah al-Nisa': 100).

 

Peristiwa hijrah dilihat sinonim dan relavan dengan kehidupan masyarakat Islam pada hari ini. Terdapat pelbagai pengajaran dan hikmah yang boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi cabaran dan dugaan kehidupan ketika menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

 

  1. Melakukan strategi dan perancangan yang tersusun dan kemas. Nabi SAW telah memberikan contoh melakukan perancangan hijrah antaranya menyediakan pengganti untuk berada di tempat tidur Nabi SAW, kaedah menghantar bekalan makanan, mengatur laluan perjalanan, memilih pemandu jalan, bersembunyi di gua Thur dan sebagainya.

    Perancangan pihak kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 adalah suatu contoh perancangan dan usaha yang baik seperti mewujudkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), imuniti berkelompok dengan pemberian vaksin dan sebagainya. Begitu juga dalam kehidupan, setiap manusia perlu melakukan strategi dan perancangan supaya mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

     

    Photo by Mufid Majnun on Unsplash
    Gambar oleh Mufid Majnun - Unsplash

     

  2. Pengorbanan perlu dilakukan dalam mencapai matlamat dalam kehidupan. Nabi SAW telah mencontohkan penghijrahan dengan melakukan pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh alam.

    Hijrah dan perubahan adalah suatu tuntutan hidup serta memerlukan pengorbanan. Perubahan dari suatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang terbaik adalah perlu dilaksanakan dalam kehidupan yang menuntut pengorbanan.

     

  3. Melahirkan sifat sabar dan tawakkal kepada Allah SWT. Nabi SAW telah mencontohkan kesabaran melalui pelbagai kesukaran ketika berhijrah seperti diancam bunuh, dikejar musuh, perjalanan yang jauh dan sebagainya.

    Dalam situasi pandemik COVID-19 masyarakat yang diuji dengan pelbagai masalah perlu bersabar dan bertawakkal kepada Allah SWT di samping mengatur perancangan untuk menyelesaikan dan mencari jalan keluar. Sikap sabar, keyakinan yang tinggi kepada pertolongan Allah SWT dan tidak mudah putus asa adalah resepi kejayaan dalam setiap kerja yang dilakukan.

     

  4. Keperluan kepada sokongan dan dokongan pelbagai pihak. Nabi SAW memberi teladan bahawa hijrah yang dilakukan memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai lapisan usia, jantina, agama dan sebagainya untuk menjayakan misi hijrah.

    Abu Talib, Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan yang mempunyai pengaruh dan kekuatan melalui kekuasaan dan kewangan. Ali bin Abi Talib yang masih belia menggantikan tempat tidur Nabi SAW. Asma’ Abu Bakar berperanan menghantar bekalan makanan. Abdullah bin 'Uraiqit walaupun bukan Islam berperanan sebagai pemandu jalan ke Madinah. Kelebihan yang ada digunakan untuk memainkan peranan yang sesuai mengikut potensi masing-masing.

    Begitulah juga dalam kehidupan, manusia sentiasa perlukan sokongan dan dokongan dari pelbagai pihak supaya dibantu, terus bermotivasi dan berjaya dalam setiap kerja dan misi hijrah yang dilakukan.

     

  5. Mewujudkan semangat persaudaraan dan saling membantu. Nabi SAW mencontohkan mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menggalakkan memberi bantuan. Peristiwa hijrah telah mendidik sifat keperihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Islam menganjurkan kepada setiap Muslim agar selalu peduli dengan nasib masyarakat di sekeliling.

    Keperihatinan dan kepedulian tersebut dianjurkan oleh Nabi SAW dalam hadis yang bermaksud: "Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakitnya dengan berjaga malam dan demam" (Riwayat Ahmad: No. 17654)

     

    food
    RAKYAT Malaysia tolong menolong memberikan bantuan makanan kepada yang memerlukan semasa pandemik ini.

    Sepanjang tempoh masyarakat Malaysia menghadapi pandemik wabak COVID-19, seluruh masyarakat berjaya menzahirkan keperihatinan dengan memberikan bantuan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

 

Demikianlah, perisitiwa hijrah Nabi SAW yang disambut dan diingati bukanlah hanya sekadar menikmati dan mendengar kisah sejarah semata-mata, bahkan perisitiwa hijrah boleh menjadi iktibar dan mengubah penafsiran falsafah hidup manusia.

 

Sewajarnya, masyarakat Islam mengambil intipati dan iktibar dari peristiwa hijrah Nabi SAW supaya dapat diterapkan dalam kehidupan demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia serta akhirat.

 

 

azri bhari
Penulis adalah Dr. Azri Bhari
Pensyarah Kanan ​​​Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), 
Universiti Teknologi MARA (UiTM), 
Shah Alam, Selangor.