Teladan Setia tidak mengetahui punca harga sahamnya melonjak pada Jumaat hingga cetuskan UMA | DagangNews Skip to main content

Teladan Setia tidak mengetahui punca harga sahamnya melonjak pada Jumaat hingga cetuskan UMA

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Teladan Setia Group Bhd. tidak mengetahui tentang sebarang perkembangan korporat yang menyebabkan sahamnya melonjak tinggi pada Jumaat lalu hingga mencetuskan aktiviti pasaran luar biasa (UMA). 

 

Syarikat pemaju hartanah di Melaka itu menjelaskan perkara berkenaan kepada Bursa Malaysia dalam maklumannya hari ini.

 

Menurutnya, syarikat tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan luar biasa.

 

Malah, ia juga tidak mengetahui sebarang penjelasan lain yang mungkin untuk menjelaskan kenaikan dalam dagangannya.

 

"Syarikat mematuhi Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities (MMLR), khususnya Perenggan 9.03 MMLR mengenai kewajipan pendedahan segera," katanya.

 

Pada Jumaat lalu, saham Teladan Setia meningkat setinggi RM1.17 sebelum ia kembali lemah dan ditutup pada RM1.02.

 

Dalam dagangan berakhir 12.30 tengah hari tadi, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.96% kepada RM1 dengan 2.35 juta saham diniagakan. -DagangNews.com