Teleport umum pelaburan dalam pasaran trak terbesar Indonesia, Kargo Technologies | DagangNews Skip to main content

Teleport umum pelaburan dalam pasaran trak terbesar Indonesia, Kargo Technologies

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 27 Jan - Teleport, syarikat logistik airasia, mengumumkan pelaburan dalam pasaran trak terbesar Indonesia, Kargo Technologies (Kargo), melalui nota boleh tukar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata, pemerolehan itu dibiayai melalui sumber yang dijana secara dalaman oleh Teleport. 

 

Katanya, pelaburan tersebut bakal menghubungkan perkhidmatan trak oleh Kargo kepada infrastruktur Teleport sekali gus mengembangkan lagi keupayaan perkhidmatan pertengahan Teleport melangkaui kargo udara.

 

Ujarnya, selaras dengan misi Teleport untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran ke seluruh Asia Tenggara dengan lebih baik, kerjasama dengan Kargo membuka peluang untuk menggabungkan rangkaian udara dengan keupayaan trak di darat, memanfaatkan teknologi yang kukuh dan mengembangkan rangkaiannya.

 

"Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran yang pantas pada kos rendah dan untuk memberi perkhidmatan kepada semua golongan.

 

"Kami percaya bandar yang bakal berkembang pesat pada masa hadapan adalah bandar ‘pertengahan’ yang lebih kecil, berbanding bandar-bandar utama yang lebih besar.

 

"Untuk menyokong visi ini, kami perlu melihat di luar rangkaian AirAsia dan pengangkutan udara untuk menghubungkan bandar-bandar baharu.

 

"Dengan gabungan udara dan darat, kerjasama dengan Kargo ini akan menjadikan kami penyedia perkhidmatan penghantaran ke seluruh Asia Tenggara yang terbaik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kargo, Tiger Fang berkata, beliau menjangkakan kerjasama berkenaan akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dengan mengembangkan kehadiran kedua-dua buah syarikat di Asia Tenggara pada tahun 2022 di samping pihaknya berusaha untuk menyelesaikan isu logistik di rantau ini.

 

Kerjasama strategik dengan Teleport akan membantu kami menjadi penyedia pelbagai laluan, seterusnya mengembangkan perkhidmatan kami dalam rantaian nilai," katanya. -DagangNews.com