Tempahan Toyota Corolla Cross Hybrid pemasangan tempatan mula dibuka kepada umum | DagangNews Skip to main content

Tempahan Toyota Corolla Cross Hybrid pemasangan tempatan mula dibuka kepada umum

Kilang pemasangan Toyota di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang.

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 2 Nov - UMW Toyota Motor (UMWT) kini membuka tempahan bagi model Corolla Cross Hybrid sebuah model dengan teknologi hibrid elektrik yang pertama dipasang dalam negara (CKD) dengan tawaran harga bermula RM137,000.

 

Orang ramai boleh mendapatkan model baharu itu dalam dua lagi varian iaitu Corolla Cross 1.8V dan 1.8G dengan enjin 1.8 liter DOHC 16-injap Dual VVT-i. yang kini dipasang di kilang ASSB, Bukit Raja, Klang berbanding sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. 

 

“Ini adalah peristiwa penting dalam sejarah Toyota di Malaysia dan kami teruja dengan pelancaran model CKD Toyota dengan teknologi hibrid elektrik yang pertama. 

 

"Ini bermakna harga yang lebih menarik dan mampu milik dapat ditawarkan, agar lebih ramai yang dapatmenikmati manfaat teknologi maju,” kata Presiden UMWT, Ravindran K.

 

Ravindran

 

Toyota Corolla Cross CKD adalah kenderaan yang menggunakan teknologi janaan hibrid elektrik (HEV) dan sebagai peneraju teknologi itu, Toyota telah menjual lebih 18.1 juta kenderaan hibrid setakat 7 September 2021. 

 

Teknologi berkenaan terbukti diandalkan dan tidak seperti kereta berkuasa elektrik sepenuhnya dan tidak memerlukan sebarang infrastruktur awam tambahan kerana sangat ideal dengan tahap elektrifikasi di Malaysia.

 

“Pemasangan tempatan bagi Toyota Corolla Cross Hybrid baru adalah satu lagi peristiwa penting dalam sejarah panjang Toyota di Malaysia. 

 

"Ketika pertama kali diperkenalkan pada era 1960an, Corolla telah menyumbang kepada pertumbuhan bidang permotoran di negara ini. Kini dengan Corolla Cross Hybrid, Toyota menyumbang pula dalam peralihan negara ke era elektrifikasi,” kata Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

 

Syarikat juga menzahirkan kegembiraan mereka apabila kerajaan menyediakan sokongan kepada sektor kenderaan elektrik menerusi Bajet 2022 dengan memansuhkan sepenuhnya semua duti dan cukai jualan serta cukai jalan dan percaya ia akan menjadi pemangkin kepada penggunaan kenderaan bebas asap.

 

Pengecualian cukai sehingga RM2,500 bagi individu yang membelanjakan wang untuk kemudahan berkaitan kenderaan elektrik juga akan membantu lebih ramai pengguna beralih kepada kenderaan elektrik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

 

Bagi model bukan hybrid, ia didatangkan Corolla Cross 1.8V, harga yang ditawarkan bermula RM129,000 manakala bagi model Corolla Cross 1.8G ialah RM123,000.
 

Model itu tampil dengan lima warna yang memikat iaitu Kelabu Celestite Metalik (hanya untuk Corolla Cross Hybrid), Putih Mutiara Platinum, Merah Mika Metalik, Biru Nebula Metalik dan Perak Metalik.-DagangNews.com