Skip to main content

‘Tempias’ PKP 2.0 tidak kuat, KLCI jatuh sedikit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua ke atas enam buah negeri tidak memberi impak kuat seperti sebelum ini terhadap pasaran saham Malaysia. 

 

Malah, indeks penanda aras pasaran saham di Bursa Malaysia, FBM KLCI sekadar menyusut 1.41 mata ketika dagangan dibuka pagi ini daripada paras yang ditutup semalam, 1,617.25.

 

Setakat 9 pagi, FBM KLCI mencecah 1,615.84 sebelum menurun lagi ke paras 1,611.79 selepas enam minit dagangan dibuka. 

 

Ini menjadikan jumlah penyusutan keseluruhan hanya mencecah 5.46 mata. 

 

Ironinya, trend penurunan yang didorong oleh pelaksanaan PKP 2.0 lebih baik berbanding prestasi pasaran saham tempatan yang terjejas akibat pergolakan politik, sehingga menjunam lebih 20 mata. 

 

Rakuten Trade Research turut tidak terkecuali daripada meramalkan trend penurunan lebih rendah yang bakal ditonjolkan oleh FBM KLCI hari ini susulan pengumuman PKP 2.0.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu mungkin menguji paras 1,610 dengan 1,600 akan menjadi paras sokongan yang lebih kukuh. 

 

“Bagaimanapun, kami percaya prestasi daripada saham dengan permodalan pasaran lebih kecil akan bertambah baik susulan penurunan (lebih 10% tetapi tidak melebihi 20%) sejak beberapa hari kebelakangan ini, oleh itu jumlah dagangan dilihat bertambah baik,” jelas nota kajian itu. 

 

Semalam, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

 

Baca : Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari

 

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana  PKP dikenakan ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 

 

Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

 

Baca : PKP 2.0: Operasi kedai makan, gerai hanya dibenarkan untuk perkhidmatan bungkus

 

Ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

 

Baca : Cukuplah berjogging, berbasikal seorang sahaja - PM

 

Di peringkat global, Wall Street ditutup lebih rendah apabila para pelabur menjadi lebih berhati-hati terhadap penilaian tinggi ekuiti Amerika Syarikat (AS) yang mendorong pengambilan untung. 

 

Disebabkan itu, DJI Average menyusut hampir 90 mata untuk kekal hanya atas paras 31,000. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan menyaksikan penurunan hari ini selepas berprestasi tidak menentu semalam,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com