Tenaga diperbaharui jadi fokus pemain industri utiliti | DagangNews Skip to main content

Tenaga diperbaharui jadi fokus pemain industri utiliti

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Pemain industri utiliti di negara dijangka terus berkembang di sebalik kesedaran terhadap alam sekitar yang semakin meningkat berbanding sektor lain. 

 

Keadaan ini didorong oleh pertumbuhan kapasiti tenaga diperbaharui (RE) yang kukuh dan permintaan tenaga elektrik pada masa depan yang disokong oleh pendigitalan. 

 

Di samping itu, Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, tambahan pelaburan dalam sistem grid bagi memudahkan peralihan tenaga juga akan terus menyokong pertumbuhan industri utiliti.

 

Katanya, pemain industri kini memberi fokus untuk mengembangkan kapasiti RE dengan melabur dalam projek-projek RE di dalam mahupun luar negara bagi mempelbagaikan asas pendapatan berasaskan arang.

 

"Ini terutamanya membabitkan janakuasa seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malakoff," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

TNB sebelum ini meletakkan sasaran untuk mencapai kapasiti 8,300MW RE menjelang 2025 iaitu merangkumi 32 peratus daripada kapasiti campuran bagi mengekalkan pendapatan berasaskan arang di bawah 25 peratus.

 

"Namun, kami percaya kebanyakan sumber pengembangan RE adalah datangnya dari luar negara memandangkan projek RE domestik adalah terhad antara 30 hingga 100MW," tambahnya.

 

Malakoff pula katanya, memperoleh projek RE berskala kecil di peringkat domestik dan pengambilalihan Alam Flora pada 2019.

 

Sementara itu, Cypark Resources pula dilaporkan akan terus membida projek RE dalam usaha mengembangkan portfolio dalam segmen itu pada masa hadapan.

 

"Berdasarkan pemerhatian kami, kapasiti RE akan berkembang kukuh dalam tempoh 2021 hingga 2028 sejajar dengan Perjanjian Paris 2015 (COP21)," jelasnya.

 

Bagi memperkasa komitmen COP21 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau antara 35 hingga 45 peratus pada 2030, Malaysia menyemak semula sasaran campuran kapasiti tenaga diperbaharui (RE) daripada 20 peratus kepada 31 peratus menjelang 2025.

 

Inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) secara dasarnya semakin berkembang pesat dengan perlindungan alam sekitar menjadi satu keutamaan sejak COP21. 

 

Perkembangan ini secara tidak langsung menyaksikan industri elektrik global berkembang seiring dengan model ESG dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida. 

 

Sehubungan itu, TNB dilihat mampu meraih pertumbuhan daripada perkembangan industri elektrik yang berteraskan kepada model ESG.

 

Siew Teng berkata, meskipun tiada bukti mengaitkan skor ESG dan prestasi harga saham, namun, dengan melaksanakan amalan baik ESG adalah positif dalam tempoh jangka panjang. 

 

"Malah, kami menjangkakan syarikat utiliti (di bawah liputan kami) akan menikmati pendedahan ESG yang lebih baik, penarafan dan tindakan dalam menangani risiko ESG juga akan menjadi tarikan kepada pelabur," katanya.

 

Menurutnya, TNB boleh dikenakan penalti oleh pelabur ESG kerana pendapatan berasaskan arang batu merangkumi 20 peratus daripada pendapatan pada tahun kewangan 2020. 

 

"Tetapi, kami melihat terdapat peluang pertumbuhan daripada ESG, yang mana ia mungkin diabaikan pelabur buat masa ini," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, TNB dan Petronas Gas Bhd. mempunyai pendedahan yang lebih komprehensif terhadap elemen alam sekitar memandangkan kedua-duanya menggunakan laporan bersepadu berdasarkan kerangka kerja yang diiktiraf peringkat global.

 

"Malah, pelepasan karbon dan pengurusan sisa Petronas Gas juga semakin bertambah baik sejak beberapa tahun lalu manakala TNB pula sedang meningkatkan usaha bagi kitar semula sisa buangan," katanya. 

 

CGS-CIMB menyemak naik sektor utiliti kepada 'overweight' berbanding 'neutral' sebelum ini. - DagangNews.com