Tender LSS5 dijangka dibuka tahun ini, dengan harga rujukan lebih tinggi - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Tender LSS5 dijangka dibuka tahun ini, dengan harga rujukan lebih tinggi - Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Jan - Maybank Investment Bank (IB) Research menjangkakan tender bagi projek solar berskala besar 5 (LSS5) dijangka dibuka pada tahun ini. 

 

Namun, penganalisisnya, Nur Farah Syifaa’ Mohammad Fuad berkata, ia akan menyaksikan harga rujukan yang lebih tinggi berbanding LSS4 (bidaan terendah pada 13.99 sen/kWh). 

 

Katanya, keadaan itu disebabkan pemerolehan utama dan gangguan rantaian bekalan yang membawa kepada kenaikan harga bahan berkaitan solar. 

 

"Kami percaya gangguan ini juga akan memberi risiko sementara kepada pelaksanaan projek dan kemungkinan kelewatan dalam pemasangan projek solar sedia ada kepada separuh kedua 2022," katanya dalam nota kajian pada Rabu. 

 

LSS adalah program pembidaan secara bersaing untuk menurunkan Penyamarataan Kos Tenaga (LCOE) bagi membangunkan loji fotovolta solar berskala besar (LSS) dan Suruhanjaya Tenaga merupakan agensi pelaksana untuk rancangan ini.

 

Bagaimanapun, Maybank IB kekal 'positif' terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) berikutan pelancaran Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui (MyRER) bagi 2022-2035. 

 

Menerusi pelan tersebut, ia dijangka meningkatkan sumbangan RE daripada 23% atau 8.45GW menerusi pemasangan kapasiti bercampur pada 2020 kepada 31% pada 2025 dan 40% menjelang 2035.  

 

Tunjang strategik untuk pertumbuhan RE akan terus memanfaatkan sumber sedia ada yang belum diterokai iaitu solar PV, biotenaga dan hidro.

 

Menurut Nur Farah, setakat 2020, solar PV merangkumi 1.5GW daripada kapasiti RE dan ia dijangka melonjak sehingga 4.7GW pada 2025 dan seterusnya 7.2GW (2035).

 

Jelasnya, tunggak tenaga solar dibina beradasarkan program sedia ada, pemeteran tenaga bersih dan LSS, tetapi akan dilengkapi dengan kemungkinan memperkenalkan model perniagaan baharu seperti perjanjian pembelian tenaga korporat, akses pihak ketiga, perdagangan tenaga peer-to-peer dan pengewangan pensijilan RE. 

 

Selain itu, katanya, ia merangkumi peningkatan kapasiti RE termasuk biotenaga (seperti biomas, biogas, sisa kepada tenaga-WTE), hidro dan juga potensi teknologi baharu penyelesaian selepas 2025, sebagai contoh penyimpanan bateri dan penyelesaian hidrogen.

 

Dalam pada itu, beliau menjangkakan pemulihan pendapatan bagi saham RE memandangkan sekatan pergerakan semakin berkurangan dan momentum pemasangan solar kembali meningkat. 

 

"Nilai kontrak Solarvest Holdings Bhd. yang kukuh berjumlah RM635 juta dilihat akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

"Sementara itu, profil pendapatan bagi Cypark Resources Bhd. dijangka bertambah baik apabila portfolio RE kumpulan semakin berkembang mulai tahun kewangan 2022 dan seterusnya. 

 

"Kumpulan juga dijangka menguruskan dan mengendalikan operasi gabungan kapasiti solar berjumlah 230MW, berbanding 40MW ketika ini dan memulakan operasi loji WTE yang pertama dengan kapasiti 25MW," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Solarvest dan Cypark dengan harga sasaran masing-masing pada RM1.45 dan RM1.35 sesaham. - DagangNews.com