Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan ketuai delegasi Malaysia ke Kongres Persekutuan Kesihatan Mental Dunia di UK | DagangNews Skip to main content

Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan ketuai delegasi Malaysia ke Kongres Persekutuan Kesihatan Mental Dunia di UK

KUALA LUMPUR 23 Jun - Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Kongres Persekutuan Kesihatan Mental Dunia ke-23 di Westminster, London pada 27 Jun hingga 1 Julai depan.

 

Selaku Penaung Kongres Dunia ke-23,  Tengku Puteri Iman Afzan yang juga Pengasas dan Presiden Green Ribbon Group (GRG) akan diiringi oleh ahlinya selain Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj dan Pengarah Eksekutif Sue Jen Cheong. 

 

GRG dalam kenyataan hari ini berkata acara akan bermula pada 27 Jun dengan lawatan ke badan amal kesihatan mental tempatan Mind, iaitu perkhidmatan sokongan kepada pesakit kes bunuh diri dan kesihatan mental para ibu - topik yang jarang dibincangkan, namun Tengku Puteri Iman Afzan  terus komited menyuarakan isu berkaitan kesihatan mental.

 

Ia kemudian akan diikuti dengan sesi meja bulat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, yang akan dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Zahid Rastam dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Education Malaysia, United Kingdom dan Eire Council for Malaysian Students (UKEC) dan Mercy Malaysia UK.

 

Menurut GRG, Tengku Puteri Iman Afzan dijadualkan merasmikan Kongres Dunia ke-23 pada 28 Jun, bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Mental dan Penggunaan Bahan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Devora Kestel dan Presiden Persekutuan Kesihatan Mental Dunia Dr Nasser Loza.

 

“Ucapan Puteri ‘Mental Health: We Can and Need to Do Better (Kesihatan Mental: Kita Boleh dan Perlu Melakukan Lebih Baik) akan menyentuh mengenai landskap kesihatan mental di Malaysia semasa pandemik dan pemulihan negara ke arah normal baharu serta kepelbagaian platform kesihatan mental yang ada dan peranan mereka dalam menggerakkan masyarakat,” katanya.

 

GRG berkata majlis sambutan bagi menghargai Tengku Puteri Iman Afzan dan Ahli Lembaga Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental akan diadakan pada 29 Jun dengan delegasi Malaysia diiringi Zahid dan wakil dari Mercy Malaysia UK.

 

Tengku Puteri Iman Afzan dan delegasi Malaysia dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Gala Kongres Dunia ke-23 pada 30 Jun di Royal Society of Medicine sebelum majlis penutupan kongres pada 1 Julai, katanya.

 

Sementara itu, Dr Andrew dalam kenyataan sama berkata jemputan Tengku Puteri Iman Afzan sebagai penaung kongres dunia itu telah meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai negara contoh melaksanakan inisiatif kesihatan mental masyarakat yang inovatif.

 

"Ia juga merupakan pengiktirafan terhadap kerja advokasi kesihatan mental yang dilakukan oleh Tengku Puteri melalui GRG," kata Dr Andrew yang juga Bendahari Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental.

 

Menurut kenyataan itu, Tengku Puteri sebagai penaung pada kongres dunia itu adalah yang pertama mewakili Asia dan buat julung kalinya menyaksikan kehadiran delegasi Malaysia.

 

Lawatan ke London adalah peluang untuk mempelajari amalan terbaik mengenai topik khusus, seperti kesihatan mental para ibu, kesihatan mental di tempat kerja dan kesihatan mental remaja, katanya. - DagangNews.com