Skip to main content

Tengku Zafrul akui kes COVID-19 berisiko jejas unjuran KDNK - CGS CIMB 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengakui sekiranya kes jangkitan COVID-19 terus meningkat, ini akan memberi risiko kepada unjuran rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021. 

 

Memetik ucapannya dalam nota kajian oleh CGS-CIMB Research, Tengku Zafrul menekankan kerajaan berusaha untuk memperkukuh pemulihan ekonomi dan mencapai unjuran KDNK dalam julat 6.5% hingga 7.5% pada tahun ini. 

 

“Tengku Zafrul menyampaikan ucap tama, di mana beliau menekankan fokus kerajaan untuk meneruskan jalan pemulihan ekonomi secara berterusan.

 

“Dengan perolehan vaksin untuk 83% daripada populasi, kerajaan berusaha untuk memantapkan pemulihan ekonomi dan mencapai pertumbuhan KDNK 6.5% hingga 7.5% pada tahun 2021 sambil memastikan sumber-sumber negara diurus dengan baik dengan fiskal yang berhati-hati,” jelas nota kajian itu. 

 

Kenyataan itu antara yang digariskan oleh CGS-CIMB semasa anjuran Malaysia Corporate Day Ke-13 oleh pihaknya pada 5 hingga 8 Januari lepas. 

 

Dalam ucap tama sama, Tengku Zafrul turut mendedahkan beberapa fokus dasar fiskal memasuki tahun ini termasuk: -

 

1) Akta Tanggungjawab Fiskal untuk melembagakan kehematan fiskal, pentadbiran dan ketelusan, dan secara beransur-ansur memindahkan defisit belanjawan ke bawah 4% daripada KDNK.

 

2) Memperkukuh asas pendapatan fiskal dengan mengatur bayangan ekonomi, dianggarkan berjumlah RM300 bilion  atau 18% daripada KDNK, dan menurunkan kebergantungan pada hasil berasaskan komoditi serta mengurangkan ketirisan cukai. 

 

Di bawah fokus ini, jelas CGS-CIMB, Tengku Zafrul akan memastikan bahawa setiap semakan kaedah cukai akan berlaku adil, tepat pada waktunya, dan mempertimbangkan kesannya kepada isi rumah serta perniagaan. 

 

3) Kerajaan melancarkan projek berimpak tinggi sehingga RM15 bilion, termasuk Jendela, Lebuhraya Pan Borneo, Sistem Transit Cepat (RTS) dan MRT3.

 

4) Kerajaan meningkatkan infrastruktur luar bandar untuk mengurangkan jurang pembangunan bandar-luar bandar.

 

5) Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sebagai pelan tindakan untuk jangka masa sederhana pemulihan.

 

6) Mewujudkan 500,000 pekerjaan melalui inisiatif seperti subsidi gaji, insentif pengambilan pekerja, peningkatan kemahiran dan penguasaan semula, skim pengambilan pekerja jangka pendek, majlis pekerjaan nasional dan sokongan khusus sektor, terutamanya dalam industri dengan pertumbuhan tinggi.

 

7) Kerajaan akan mempromosikan persekitaran perniagaan yang kondusif dengan insentif yang berdaya saing untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

 

8) Keperluan untuk mengubah dan menetapkan semula pengaturan institusi tertentu, termasuk peranan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta mempromosikan pelaburan bernilai tambah tinggi. - DagangNews.com