Skip to main content

Tepati sasaran, MR D.I.Y bakal tambah 100 kedai baharu

D.I.Y

KUALA LUMPUR 6 Julai - Peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, MR D.I.Y menepati sasaran tahunan syarikat mereka apabila bakal membuka 100 lagi kedai baharunya pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, penambahan 100 kedai baharu itu berikutan daripada pengambilan pekerja secara besar-besaran syarikatnya sebelum ini.

"Sasaran tahunan kami adalah untuk membuka 100 kedai baharu dan tahun ini pun kami tetapkan sasaran tersebut. Setakat ini kami sudah membuka 45 kedai baharu dan perlu sedikit masa lagi untuk separuh kedua 2020, tetapi kami yakin akan dapat lakukannya.

"Biasanya setiap kedai kami gaji 15 pekerja dan hingga kini kami fikir perlunya menggaji 1,000 pekerja baharu. Dari situ, adanya keperluan untuk kami tambah kedai dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, katanya seperti dipetik StarBiz hari ini.

Sehingga kini, MR D.I.Y telah membuka sebanyak 638 kedai di seluruh negara dan menggaji seramai 10,000 pekerja dengan 84% daripadanya adalah rakyat tempatan.

Terdahulu, syarikat tersebut membuka peluang pekerjaan kepada lebih daripada 1,000 rakyat Malaysia termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan pelbagai jawatan di seluruh kedainya termasuk ibu pejabatnya di Selangor.

D.I.Y

 

"Kami buat pengambilan pekerja baharu ini bermula 1 Jun dan akan berlanjutan selama tiga bulan. Kami bertanggungjawab untuk ambil pekerja daripada pelbagai latar belakang memandangkan ramai yang terkesan akibat wabak COVID-19.

"Selepas kerajaan laksana PKP, keadaan menjadi lebih sukar kepada orang ramai kerana mereka tidak dapat mencari nafkah. Jadi kami melihat peluang ini untuk bantu mereka. Ini juga adalah masa yang tepat untuk melantik pekerja yang rajin dan bersemangat untuk dibawa masuk ke syarikat," ujarnya lagi. - DagangNews.com