Skip to main content

Terbuka Indonesia dahulu, selepas itu baru kejohanan Akhir Jelajah Dunia - Thinaah

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Walaupun berpeluang melayakkan diri ke saingan Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) namun pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah enggan terlalu memikirkan perkara itu sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Indonesia yang bermula esok.

 

Thinaah yang berumur 23 memberitahu, fokus utama mereka adalah untuk melangkah sejauh mungkin dalam saingan bertaraf Siri Jelajah Dunia yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$850,000 (RM3.3 juta).

 

"Kami tidak mahu terlalu melihat terlalu jauh ke hadapan, kerana kami perlu berhadapan saingan Terbuka Indonesia dahulu dan kalau boleh kami mahu mara sejuah mungkin dalam kejohanan itu.

 

"Kalau layak ke kejohanan Akhir Jelajah Dunia, memang bonus buat kami kerana ini akan menjadi penyertaan pertama kami dalam kelompok pemain elit," katanya. 

 

Berdasarkan kedudukan Jelajah Dunia, mereka berada di kedudukan kelapan namun kedudukan itu dijangka berubah selepas kejayaan mereka melangkah ke suku akhir Indonesia Masters, minggu lalu.

 

Seandainya berjaya mengulangi pencapaian minggu lalu atau lebih baik, pasangan muda negara itu akan mengesahkan tempat mereka di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta).

 

Pemain yang sudah pasti beraksi di kejohanan itu ialah perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia manakala pememang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin masih perlu menunggu keputusan minggu ini.

 

Selain itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing perlu meraih keputusan cemerlang di Terbuka Indonesia bagi mencerahlan laluan mereka-Dagangnews.com