Terimalah kritikan negatif dengan terbuka, jika ingin maju | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 17 May 2022

Terimalah kritikan negatif dengan terbuka, jika ingin maju

 

 

BULAN Syawal masih lagi belum tamat. Penulis ingin mengucapkan selamat berpuasa 6, sambil-sambil meluangkan masa membaca artikel di kolum Iktisad, pagi Selasa ini.

 

Sepanjang pengalaman penulis, terdapat banyak komentar yang membuat kenyataan tentang goyangnya keyakinan orang ramai kepada operasi kewangan Islam yang dilaksana oleh institusi-institusi kewangan negara. 

 

Keraguan ini telah menimbulkan pandangan-pandangan yang membina dan ada juga yang negatif. Pada penulis, setiap orang mempunyai hak untuk memberi pandangan tentang kewangan Islam. 

 

Namun, apabila membaca pandangan orang lain, mereka juga harus menerima kenyataan yang orang lain juga mempunyai hak untuk menerima atau menolak pandangan yang dilontarkan. 

 

Sikap tolenrasi sebegini harus hadir dalam masyarakat demi menghidupkan suasana saling menghormati pandangan setiap orang apabila mereka mengeluarkan pandangan.

 

Seseorang yang bijak akan cuba sedaya upaya mengeluarkan pandangan yang membina, kritikan berfakta dan memberi cadangan bernas ke atas satu-satu situasi yang berlaku dalam masyarakat termasuk isu-isu berkaitan kewangan Islam. 

 

Dengan berbuat demikian, seseorang itu perlu menyandarkan pandangan dan kritikannya kepada fakta atau tinjauan penyelidikan agar pandangan dan kritikan tersebut layak untuk diperdebatkan.

 

Manusia termasuklah penulis sebenarnya merupakan rakyat marhaien yang tidak menguasai dengan baik ilmu tentang kewangan Islam. 

 

Banyak lagi ilmu yang kena belajar dan diperhalusi terutama berkaitan dengan halal dan haram dalam muamalat. 

 

Sebenarnya seseorang itu hanya mampu membaca, melihat dan seterusnya melontarkan pandangan dari perspektif akal minda yang terhad.

 

Penulis sering menghormati pandangan yang positif ke arah kebaikan dan penambahbaikan sistem kewangan Islam negara. 

 

Bahkan, penulis juga tidak boleh halang pandangan negatif rakan-rakan penulis apabila mereka membuat komentar-komentar negatif kepada pengoperasian kewangan Islam. Mereka ada hak untuk bersuara.
  

Untuk rekod sehingga kini terdapat banyak fakta menyokong kewangan Islam dan tidak dinafikan bahawa sudah banyak pembuktian yang kewangan Islam memang halal dan patuh syariah. Cendekiawan seluruh dunia telah mengakuinya. 

 

Bagaimanapun, operasinya masih belum sempurna kerana sistem kewangan Islam dilaksanakan seiring dengan sistem kewangan konvensional yang lebih unggul sejak 500 tahun dahulu dengan sistem riba.

 

Atas sebab ketidaksempurnaan dan kepincangan teknikal inilah termasuk soal etika berbisness dan sudut perkhidmatan, maka kewangan Islam memerlukan komentar membina walaupun negatif, daripada orang ramai untuk diperbaiki. 

 

Penulis pasti semua orang sememangnya sayangkan kewangan Islam dan atas sebab itu mereka akan marah kalau ia tidak dilaksana dengan baik dan sempurna. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags