Diskriminasi sawit: Malaysia saman EU tahun ini | DagangNews Skip to main content

Diskriminasi sawit: Malaysia saman EU tahun ini

minyak sawit

KUALA LUMPUR 20 Julai - Malaysia akan memfailkan saman terhadap Kesatuan Eropah (EU) kepada Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) pada tahun ini berhubung diskriminasi minyak sawit.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, Malaysia tidak akan berubah fikiran dan tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap EU.

“Malaysia akan bertindak sebagai pihak ketiga dalam kes WTO Indonesia terhadap EU sebagai tanda sokongan kepada negara pengeluar minyak sawit lain dan ini sekali gus akan meningkatkan tekanan ke atas EU,” katanya seperti dipetik laporan The Star.

Dalam pada itu , pihaknya juga akan bekerja rapat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berhubung penyediaan dokumen penting untuk difailkan kepada EU menerusi mekanisme penyelesaian pertikaian (DSM).

Jelas Willie, industri komoditi Malaysia terutamanya minyak sawit dan getah menerima tindakan daripada Amerika Syarikat disebabkan oleh tuduhan buruh paksa.

Baca : Sekatan bahan bakar bio: Malaysia akan saman EU 

Sehubungan itu, pihaknya sedang merangka penyelesaian strategik berhubung isu terbabit.

Kerajaan Malaysia memandang serius atas segala tuduhan mengenai kewujudan buruh paksa di sektor komoditi pertanian. 

“Kementerian mengingatkan semua pengusaha industri kelapa sawit untuk terus mematuhi peraturan buruh dengan baik.

“Sektor getah juga dikaitkan dengan masalah eksploitasi buruh. Walau bagaimanapun, masalah ini perlu diperhalusi dengan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi,” tambah beliau. 

Kata beliau, pihaknya akan terus berusaha untuk menepis segala tuduhan dan menangani isu buruh yang sering dikaitkan dengan sektor komoditi. - DagangNews.com