PKP hingga PKPP, Jenayah Indeks catat 1,742 kes | DagangNews Skip to main content

PKP hingga PKPP, Jenayah Indeks catat 1,742 kes

Jenayah

KUALA LUMPUR 20 Julai - Statistik Jenayah Indeks negara mencatatkan 1,742 kes bagi kesemua fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Sri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, jumlah tersebut adalah termasuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 18 Mac hingga 30 Jun 2020.

“Jenayah Indeks di Kontinjen Kuala Lumpur bagi tempoh sebelum perlaksanaan PKP mulai 1 Januari hingga 17 Mac adalah sebanyak 2,225 kes. Manakala semasa fasa PKP bermula 18 Mac hingga 3 Mei adalah sebanyak 546 kes.

“Fasa PKPB mulai 4 Mei hingga 9 Jun pula adalah sebanyak 708 kes. Dan bagi tempoh PKPP mulai 10 Jun hingga 30 Jun 2020 kes Jenayah Indeks dicatat sebanyak 488 kes yang menjadikan jumlah keseluruhan bagi semua fasa PKP bermula 18 Mac hingga 30 Jun adalah sebanyak 1,742 kes,” katanya dalam jawapan lisan kepada Fong Kui Lun (PH- BUKIT BINTANG) di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan tersebut mewakili pihak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Fong Kui Lun yang mahukan penjelasan berkaitan indeks jenayah di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas tamatnya tempoh PKP.

Jenayah Indeks yang merupakan jenayah yang kerap dilaporkan dan mempunyai signifikasi yang memadai untuk dianggap sangat mustahak sebagai petunjuk kepada keadaan jenayah.

Dalam jawapan itu juga, Ismail turut memberitahu, perlaksanaan PKP adalah faktor utama yang menyumbang kepada statistik jenayah negara.

“Kawalan pergerakan masyarakat bagi menangani penularan COVID-19 menjadi faktor utama mempengaruhi peningkatan dan penurunan Jenayah Indeks seluruh negara termasuk wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Peningkatan jenayah dilihat berlaku semasa PKPB dilaksanakan, dimana syarat penguatkuasaan kawalan pergerakan dilonggarkan,” katanya lagi. - DagangNews.com