Skip to main content

Teruja melihat kepelbagaian kaum di Sarawak ditonjolkan pada Jelajah AKM 

Persembahan tarian tradisional pada majlis penutupan Jelajah AKM Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Ogos 2022.
Oleh KERNI PUAH

KUCHING 7 Ogos - Pengunjung yang berkunjung ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi ke-7 Sarawak di Dataran Perayaan, Petrajaya turut berpeluang mempelajari dan merasai pengalaman kepelbagaian kaum di Sarawak. 

 

Menurut Muhammad Iqbal Ikhwandi Mat Zin, 36 dari Kuala Lumpur ketika berkunjung ke Jelajah AKM di Sarawak kali ini, kelainan yang dibawakan dapat dirasai. 

 

“Antara kelainan yang dirasai adalah persembahan yang dibawakan di pentas persembahan dan juga pada majlis perasmian penutupan Jelajah AKM Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sebelah pagi.

 

“Persembahan yang menghimpunkan kepelbagaian kaum di Sarawak menunjukkan negeri ini begitu unik dan kaya dengan kelainan budaya masyarakat.

 

"Justeru, saya beranggapan kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini patut dikekal dan diwarisi agar tidak ditelan zaman,” katanya ketika ditemui DagangNews.com di sini. 

 

Malah, Iqbal Ikhwandi yakin usaha kerajaan melakukan pelbagai karnival dan program kebudayaan sebelum ini juga merupakan salah satu usaha dalam mengekalkan tradisi masyarakat yang ada di Sarawak dan berharap agar lebih ramai lagi golongan belia dan persatuan memperkasakan minat dalam seni budaya negeri itu.

 

AKM
Muhammad Iqbal Ikhwandi Mat Zin

 

Sementara itu, Priscilla Carnelius, 32, dari Saratok dia berbangga melihat seni budaya masyarakat Iban diperagakan pada persembahan majlis penutupan AKM Sarawak. 

 

“Melihat keunikan tarian, alunan muzim kaum saya sendiri membuatkan saya bangga dan mahu agar generasi muda terus mewarisi seni tarian khususnya kerana bagi saya ia identiti kepada kaum seseorang itu sendiri. 

 

“Tidak dinafikan juga, apabila melihat beberapa peniaga di reruai menghimpunkan jualan aksesori manik tradisional sudah cukup melambangkan pengekalan kepada identiti masyarakat tersendiri,” ujarnya. 

 

AKM
                                      Priscilla Carnelius

 

Tidak terkecuali Natasha Jee, 29, yang pada awalnya menyangka penganjuran Jelajah AKM di Sarawak hanya menghimpunkan pameran agensi-agensi kerajaan dan jual-jualan produk usahawan tempatan. 

 

“Namun, apabila saya menjejakkan kaki ke program ini, saya terkejut melihat intipati acara yang dibawakan teutamanya persembahan tarian yang menampilkan pelbagai masyarakat yang ada di negeri saya sendiri. 

 

“Akan tetapi persembahan yang dibawakan itu begitu sekejap sahaja sehingga ada pengunjung berasa tidak cukup puas untuk menonton kepelbagaian masyarakat yang ada di negeri ini, dan berharap akan ada lebih banyak lagi penganjuran seperti ini,” katanya. 

 

AKM
                                     Natasha Jee

 

Tidak dinafikan Sarawak mempunyai pelbagai suku kaum dan masyarakat. 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan perasmian penutupan majlis Jelajah AKM Sarawak turut mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana berjaya menegekalkan perpaduan dan keharmonian di negeri itu. - DagangNews.com