Texchem catat lonjakan 16 kali ganda keuntungan bersih pada 2QFY22 | DagangNews Skip to main content

Texchem catat lonjakan 16 kali ganda keuntungan bersih pada 2QFY22

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Texchem Resources Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak kira-kira 16 kali ganda kepada RM6.73 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) daripada RM424,000 setahun sebelumnya, hasil pemulihan bahagian restoran di tengah-tengah peralihan negara kepada endemik, sebagai serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Pada suku semasa dalam tinjauan, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 8.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Texchem mencatatkan hasil sebanyak RM609.0 juta untuk 1HFY22, mewakili lonjakan 15.4% tahun ke tahun (YoY) daripada RM527.9 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai 1HFY22 Texchem (PBT) meningkat 226.6% YoY kepada RM28.3 juta berbanding RM8.7 juta setahun lalu.

 

Sejajar dengan itu, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI atau keuntungan bersih) bagi tempoh dalam tinjauan melonjak 180.7% YoY kepada RM19.8 juta yang membanggakan berbanding RM7.1 juta pada 1HFY21.

 

Pengerusi Eksekutif Texchem, Tan Sri (Dr) Fumihiko Konishi berkata, setelah memulakan tahun kewangan dengan kukuh, pihaknya sangat gembira dapat mengekalkan prestasi.

 

"Ini menunjukkan bahawa strategi transformasi yang kami sediakan, terus membuahkan hasil daripada semua unit perniagaan kami, yang melakar pertumbuhan prestasi 1HFY22.”

 

"Sementara itu, kami mengambil kira prestasi suku-ke-suku (“QoQ”) yang lebih lembut, yang dijangkakan sebagai suku yang lebih lemah untuk bahagian makanan kami, berikutan larangan menangkap ikan yang dikenakan oleh Kerajaan Myanmar dari April hingga Jun 2022, bersama-sama dengan penurunan jualan untuk Sushi King akibat Ramadan yang memberi kesan kepada bahagian restoran pada S2,” katanya dalam kenyataan di sini.


 

Fumihiko Konishi
                                                Fumihiko Konishi

 


Melangkah ke hadapan kata beliau, syarikat akan meneruskan pelaksanaan pelan strategik merentasi semua bahagian perniagaan teras, yang telah mencatatkan kemajuan yang baik.

 

"Pada masa yang sama, kami juga menyedari cabaran berterusan lain seperti kenaikan kadar faedah untuk menjinakkan tekanan inflasi, ketegangan geopolitik dan kemunculan varian COVID-19 baharu.

 

"Kami akan sentiasa prihatin terhadap cabaran ini dan Kumpulan akan terus berusaha untuk menanganinya,” kata Konishi. - DagangNews.com