TH Heavy Engineering lantik Abd. Aziz sebagai Pengerusi | DagangNews Skip to main content

TH Heavy Engineering lantik Abd. Aziz sebagai Pengerusi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Syarikat minyak dan gas, TH Heavy Engineering Berhad telah melantik ahli politik, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusinya berkuatkuasa 25 Mei 2021. 

 

Abd. Aziz, 58, bakal menggantikan Ir. Abdul Manap Ali Hasan yang dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif bebas syarikat, menurut maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

Jelas TH Heavy Engineering, Abd. Aziz pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kretam Holdings Berhad pada 1 Julai 2002 dan memegang jawatan sebagai Pengarah merangkap Pengerusi Eksekutif sehingga Julai 2018. 

 

“Abd. Aziz memulakan kariernya pada 1986 sebagai Penyelaras Projek Pembangunan Kulim Sdn. Bhd. di mana beliau secara aktif terlibat dalam pelbagai projek. 

 

“Sebelum menyertai Gold Bridge Engineering & Construction Berhad sebagai Pengarah Eksekutif, beliau bertanggungjawab dalam pengurusan dan operasi keseluruhan sejak 1989. 

 

“Abd. Aziz sebelum ini bekerja di beberapa syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Safeguard Corporation Berhad dan Destini Berhad,” jelas TH Heavy Engineering. 

 

Beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Kedah itu merupakan lulusan Ijazah Sains Perakaunan dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat (AS). 

 

Sebagai rekod, TH Heavy Engineering dalam maklumannya di Bursa Malaysia pada 20 Mei lalu memberitahu bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan permohonan syarikat bagi lanjutan enam bulan sehingga 22 Oktober 2021 untuk menghantar pelan pengaturcaraan berhubung status PN17. 

 

Sekiranya gagal memenuhi beberapa syarat ditetapkan, Bursa Malaysia berhak untuk menggantung urus niaga sekuriti TH Heavy Engineering yang tersenarai, pada hari keenam pasaran selepas tarikh pemberitahuan penggantungan oleh bursa seterusnya nyahsenaraikan syarikat itu.  - DagangNews.com