TH jamin kepentingan pendeposit terpelihara dan ditambah baik | DagangNews Skip to main content

TH jamin kepentingan pendeposit terpelihara dan ditambah baik

KUALA LUMPUR 18 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan kepada umat Islam khususnya 8.3 juta pendepositnya bahawa TH akan mengesyorkan hak mutlak pengurusan dan operasi Haji terus kekal bersama TH.

 

TH juga akan mendapatkan jaminan kerajaan ke atas deposit di TH di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji tahun 1995 terus kekal untuk kepentingan para pendeposit.

 

Selain itu, penglibatan TH dalam sektor ekonomi dilaksanakan berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh dan TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi, dan pelaburan untuk kepentingan para pendeposit.

 

"TH akan terus kekal relevan melalui usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif ini; dan TH akan bekerjasama serta terlibat dalam kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia demi kepentingan para pendeposit dan TH sendiri," kata TH dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Malah, kata TH, cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH yang merangkumi kajian oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, mahupun perlaksanaan Surujahanjaya Siasatan DiRaja – tidak akan mengganggu urusan harian pendeposit mahupun
urusan berkenaan operasi TH.

 

"Operasi harian TH akan berjalan seperti biasa. Sejak penubuhannya pada 1963, TH telah berkembang dari jumlah deposit hanya kira-kira RM46,000 kepada hampir RM82 billion pada hari ini.

 

"Ini adalah paras yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya lebih 58 tahun yang lalu dan menggambarkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan pendeposit terhadap TH," kata Tabung Haji.

 

TH kini berada pada landasan yang baik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil. TH juga sedang dan senantiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit dimana lebih 80% transaksi kewangan dilakukan secara dalam talian.

 

"Keyakinan dan kepercayaan ini adalah satu amanah yang amat berat dan TH perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik dan mengukuhkan tadbir urus dan operasinya bagi menjaga kepentingan pendeposit," kata TH.

 

Atas keperluan tanggungjawab ini, Kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ini akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

 

Menurutnya, cadangan model baharu operasi TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH.

 

"TH menyarankan agar kajian menyeluruh oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan TH perlu dibuat untuk menilai model operasi baharu yang dicadangkan, di samping mengambil kira kapasiti sedia ada TH termasuklah aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia, dan lain-lain.

 

"Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit," kata TH. - DagangNews.com