Skip to main content

Thandalam Veeravalli Thirumala Chari dan Khoo Gaik Bee dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AirAsia

Thandalam Veeravalli Thirumala Chari dan Khoo Gaik Bee
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), syarikat induk kumpulan syarikat penerbangan Capital A, mengumumkan penambahan ahli lembaga pengarahnya dengan pelantikan Thandalam Veeravalli Thirumala Chari dan Khoo Gaik Bee sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.

 

Penambahan dua ahli lembaga pengarah baharu ini akan menambah kepakaran dalam AAAGL sejajar dengan usahanya untuk memperkukuh komposisi lembaga pengarahnya. 

 

Kumpulan syarikat penerbangan itu baru-baru ini mencatatkan peningkatan prestasi yang ketara dalam semua metrik utama, termasuk peningkatan sebanyak 633% dalam bilangan penumpang dan faktor muatan sebanyak 84% pada suku kedua tahun ini sama seperti tahap pra-pandemik. 

 

AAAGL kini berada di landasan yang tepat untuk kembali kepada kapasiti 100% pada laluan paling popularnya menjelang suku pertama tahun 2023.

 

Pengerusi AAAGL, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, mereka berbesar hati untuk mengumumkan pelantikan dua ahli lembaga pengarah baharu, Chari dan Khoo yang mempunyai pelbagai kepakaran selaras dengan tumpuan berterusan dalam tadbir urus, modal insan dan kepelbagaian. 

 

"Kedua-duanya mempunyai lebih 40 tahun pengalaman yang tidak ternilai dalam bidang kewangan, teknologi dan sumber manusia yang penting untuk memacu dan membangunkan syarikat penerbangan digital kami untuk semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam pula berkata, kekuatan gabungan ahli lembaga pengarah baharu yang dibentuk ini juga adalah usaha AAAGL untuk memberikan pulangan positif kepada pemegang saham dan yang paling penting, menawarkan lebih nilai kepada tetamu. 

 

"Ini adalah tempoh yang terbaik untuk menyertai syarikat ini kerana sempadan dunia kini dibuka semula dan kami percaya dapat memberi sumbangan kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan dan antarabangsa di semua pasaran utama kami," katanya.

 

Selain dua pengarah baharu, ahli lembaga pengarah AAAGL terdiri daripada Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Suvabha Charoenying, Lim Serh Ghee, Francisco Ed. Lim, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dan Tharumalingam a/l Kanagalingam. - DagangNews.com