Tiada air empat hari, 290 kawasan terjejas di Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Tiada air empat hari, 290 kawasan terjejas di Lembah Klang

KUALA LUMPUR 7 Julai - Sebanyak 290 kawasan terjejas dan mengalami masalah gangguan bekalan air berjadual akibat aktiviti henti tugas sementara Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) bermula 14 Julai 2020 bagi kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal.

Kawasan yang terjejas adalah melibatkan wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat.

Pengarah dan Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata,  pihaknya menjangkakan LRA SSP3 akan beroperasi semula dan menyalurkan bekalan air kepada pelanggan pada 15 Julai 2020, pukul 9.00 pagi.

"48% daripada keseluruhan kawasan terlibat akan mula menerima bekalan air pada 16 Julai 2020 dan dijangka mencapai tahap 80% pada 17 Julai, pukul 9.00 pagi. Bekalan air akan pulih sepenuhnya di semua kawasan yang terlibat adalah pada 17 Julai 2020, pukul 5.00 petang.

"Air Selangor akan menggerakkan 91 lori tangki ke kawasan yang terjejas dan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis. Bantuan bekalan air ke premis pelanggan dan kawasan perumahan hanya akan bermula pada 16 Julai 2020. Justeru, para pelanggan diminta menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Air Selangor akan membuka lapan Pusat Khidmat Setempat dan enam Pili Air Awam bermula 16 hingga 17 Julai 2020. 

Bagi pelanggan komersial, pembelian air menggunakan lori tangki akan dibuka di dua stesen pengisian air setempat dan pembayaran boleh dibuat di semua 10 kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di LRA SSP3 itu bagi membolehkan loji terus beroperasi dengan lebih cekap dan semua peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik. - DagangNews.com