Tiada darurat: Bursa Malaysia ‘tarik nafas’ lega | DagangNews Skip to main content

Tiada darurat: Bursa Malaysia ‘tarik nafas’ lega


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Memandangkan cadangan darurat yang berlegar pada Jumaat lalu tidak dilaksanakan, rata-rata pelabur mula menarik nafas lega.

Ini sekaligus melonjak KLCI untuk dibuka lebih tinggi pada hari ini, meningkat 2.38 mata atau 0.16% kepada 1,497.01 setakat 9.03 pagi.

Rakuten Trade Research menjangkakan KLCI dapat melepasi paras 1,500 tetapi mungkin dihadkan dengan ketidaktentuan pasaran saham serantau. 

“COVID-19 bakal mendominasi aktiviti dagangan memandangkan seluruh dunia berdepan dengan peningkatan mendadak kes pandemik itu ketika pelabur mengelak daripada berdagang dalam pasaran yang berisiko (sideline) .DJI Average ditutup mendatar sekitar paras 28,300, manakala niaga hadapan merosot lebih daripada 100 mata ketika dilaporkan. 

“Oleh itu kami percaya pasaran serantau akan dibuka bercampur-campur tetapi Bursa Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan hari ini. 

“Kami menjangkakan KLCI didagangkan lebih tinggi memandangkan ramai menarik nafas lega setelah cadangan darurat tidak dilaksanakan,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya.

Menurut Bloomberg, niaga hadapan ekuiti Amerika Syarikat (AS) dibuka lebih rendah memandangkan persetujuan rangsangan masih belum dicapai dengan jangkitan COVID-19 mencecah rekod baharu untuk hari kedua. 

Saham Asia pula menyaksikan peningkatan yang sederhana. 

Kontrak S&P 500 merudum walaupun pada sesi rendah. 

Saham di Jepun, Australia dan Korea Selatan dibuka lebih tinggi. 

Speaker Dewan AS, Nancy Pelosi berkata, dewan boleh meluluskan rancangan bantuan pandemik pada minggu ini, walaupun kesepakatan dengan Presidennya tetap sukar dicapai kerana peluang persetujuan semakin pudar menjelang pilihan raya minggu depan. - DagangNews.com