Tiada lagi gangguan siaran ketika hujan dengan Ultra Plug & Play Box Astro | DagangNews Skip to main content

Tiada lagi gangguan siaran ketika hujan dengan Ultra Plug & Play Box Astro

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Astro melancarkan Ultra Plug & Play Box terbaharu dengan menawarkan tontonan tanpa gangguan kepada program-program tempatan dan antarabangsa, tanpa menggunakan piring satelit. 

 

Ia membenarkan pelanggan melakukan pemasangan secara sendiri dan boleh menikmati ciri-ciri Ultra Box menerusi Rakaman Awan menggunakan fungsi ‘Play from Start’ dengan hanya menyambungkan Ultra Plug & Play Box ke TV dan internet, untuk terus menonton program-program kegemaran. 

 

Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad berkata, para pelanggan Astro berhak mendapat pengalaman tontonan terbaik, justeru, pihaknya komited untuk sentiasa menambahbaik pengalaman mereka bagi memudahkan pelanggan menikmati produk yang ditawarkan. 

 

Katanya, Ultra Plug & Play Box terbaharu ini direka berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelangan yang menginginkan produk atau perkhidmatan yang mudah untuk dipasang dan mampu menawarkan pengalaman tontonan secara berterusan, tanpa sebarang gangguan yang dicetuskan oleh keadaan cuaca.

 

"Memandangkan kotak ini disambungkan secara terus dengan internet, dan bukannya piring satelit, ia dapat membantu mengatasi masalah gangguan siaran ketika hujan.
 

"Kotak terbaharu ini hadir dengan video panduan ringkas yang memudahkan pelanggan untuk membuat pemasangan sendiri, pada bila-bila masa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Azlin memberitahu, Astro sebelum itu telah melaksanakan kajian percubaan pasaran untuk kotak ini dan sebanyak 87% daripada pelanggan berpuas hati dengan kaedah pemasangan sendiri ini dan keseluruhan proses memasang Ultra Plug & Play Box, kerana langkah-langkah yang perlu diikuti adalah sangat mudah dan ringkas.

 

Malah, katanya, kotak pemasangan sendiri ini dilancarkan tepat pada masanya ketika negara sedang berdepan dengan fasa perintah kawalan pergerakan, yang mana rata-ratanya pelanggan memilih untuk mengurangkan kehadiran pemasang ke kediaman masing-masing. 

 

"Ia juga tidak memerlukan sebarang piring satelit kerana sajian kandungan Astro disiarkan secara perkhidmatan strim menerusi jalur lebar masing-masing," tambahnya.

 

Kotak baharu dan Kad SIM Astro akan dihantar kepada pelanggan menerusi perkhidmatan kurier dan setiap komponen dipek bersama dengan langkah-langkah panduan pemasangan untuk pelanggan mengaktifkan perkhidmatan ini. 

 

Dalam pada itu, sementara menantikan Ultra Plug & Play Box untuk sampai ke kediaman masing-masing, pelanggan boleh mengaktifkan langganan mereka menerusi aplikasi Astro GO dan nikmati sajian yang sewajarnya dengan perkhidmatan pra-akses Astro GO. 

 

Pengaktifan Ultra Plug & Play Box adalah percuma untuk pelanggan sedia ada yang melanggan perkhidmatan lebih dari RM100 pada setiap bulan. - DagangNews.com