Tiada 'mood' : Bursa mendatar, ringgit susut | DagangNews Skip to main content

Tiada 'mood' : Bursa mendatar, ringgit susut

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pasaran tempatan petang ini ditutup hampir tidak berubah, susut 1.31 mata kepada 1,575.31 mata walaupun dibuka tinggi pada 1,595.38 mata. 

 

Indeks utama FBM KLCI bergerak dalam jajaran antara 1,575.31 hingga 1,609.19 mata dengan 5.93 bilion saham diniagakan bernilai RM4.74 bilion. 

 

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi untung pada 601 berbanding 537 manakala 490 kaunter tidak berubah. 

 

Dalam dagangan pagi, indeks kembali melonjak daripada kerugian semalam selepas ditutup rendah pada 1,576.62 mata, sejajar dengan pasaran Asia dan didorong keyakinan terhadap prospek ekonomi yang kukuh. 

 

Kebanyakan pasaran Asia juga mengakhiri dagangan hari ini dengan rendah, ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap sekatan ke atas pentadbiran Joe Biden apabila pakej ransangan bernilai AS$1.9 trilion menjejaskan sentimen dan mengheret turun hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) ke paras 3 minggu rendah, lapor Reuters.

 

Menurut Malacca Securities dalam nota kajian, aktiviti jualan seperti yang berlaku semalam mungkin berlebihan selepas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi kelegaan ekoran kebimbangan pelaksanaan PKP 3.0. 

 

"Dari segi saham berkaitan sarung tangan getah, kami percaya hasil Hartalega yang memberangsangkan mampu menyokong pembelian saham sarung tangan getah dan proksi yang lain.

 

"Bagaimanapun, pelabur masih kekal berhati-hati menunggu data Indeks Harga Pengeluar (PPI) Malaysia esok," katanya. 

 

Memandangkan dana asing boleh berubah kepada mod jualan, firma itu menjangkakan pemulihan akan berdepan dengan aktiviti pengambilan untung dalam tempoh terdekat.  

 

Bagi pasaran kewangan pula, petang ini ringgit ditutup pada RM4.0460/0500 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada, RM4.0430/0460. - DagangNews.com