Tiada perkara yang hendak disembunyikan Kementerian Pertahanan berhubung LCS - Hishammuddin | DagangNews Skip to main content

Tiada perkara yang hendak disembunyikan Kementerian Pertahanan berhubung LCS - Hishammuddin

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kementerian Pertahanan akan melakukan apa sahaja termasuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik bagi memastikan isu perolehan berkaitan kapal tempur pesisir (LCS) dapat diselesaikan.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, pihaknya bersama barisan kepemimpinan kementerian itu tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan.

 

Katanya, mereka hanya mahukan perkara itu dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara.

 

Beliau berkata, kementerian juga memberi jaminanbahawa keputusan Kabinet ini tidak akan mengganggu tiga (3) perkara yang telah saya tegaskan beberapa kali sebelum ini. 

 

"Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada April 2022. 

 

BACA JUGA: SPRM digesa segerakan siasatan LCS, bawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan - Perdana Menteri

 

BACA JUGA: LTAT belanja RM6 bilion untuk 'pesanan pukal' pembinaan LCS

 

"Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan dan ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, kementerian juga sedang giat  melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada masa sama, beliau berkata, penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang  sangat mereka perlukan dengan secepat mungkin. - DagangNews.com