Tiada sentimen negatif, KLCI terus naik | DagangNews Skip to main content

Tiada sentimen negatif, KLCI terus naik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Sekejap sahaja sentimen Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat memberi sedikit ‘tempias’ kepada prestasi pasaran saham tempatan.

 

Semalam dan hari ini, indeks penanda aras pasaran saham di Bursa Malaysia terus menunjukkan trend menaik kerana tiada sentimen negatif signifkan yang dapat mempengaruhi pergerakannya. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI menokok 1.31 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,636.69 kepada 1,638.00. 

 

Setelah enam minit didagangkan, indeks penanda aras itu terus ‘mengayuh’ untuk mencecah 1,641.59, menjadikan jumlah keseluruhan peningkatan menghampiri lima mata. 

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI cenderung untuk bergerak ke dalam julat terhad sepanjang 1,630 / 40 hari ini kerana kekurangan pemangkin.

 

“Pembelian besar terhadap saham bank semalam dilihat menjadi petunjuk bahawa dana asing mungkin memasuki pasaran tempatan berikutan terdapat aliran masuk sekitar RM750 juta sejak 7 Januari.

 

“Sementara itu, kami kekal positif terhadap lonjakan aktiviti dagangan dalam kalangan saham dengan permodalan pasaran kecil hari ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya.

 

Sementara itu, di peringkat global, Wall Street didagangkan tidak menentu dengan DJI Average ditutup mendatar pada paras 30,060. 

 

“...Nasdaq ditutup 56 mata lebih tinggi menghampiri paras 13,130. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan terus tidak menentu,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com