Tiada sesalan lepaskan jawatan PM, yang penting utamakan rakyat - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Tiada sesalan lepaskan jawatan PM, yang penting utamakan rakyat - Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR 22 Sept – Tidak timbul soal menyesal bila terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri kerana tindakan tersebut adalah mengikut prinsip perlembagaan dan mengutamakan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

"Selepas 15 Ahli Parlimen UMNO tidak menyokong saya, maka saya tidak boleh bertahan lama. Saya perlu melaksanakan tanggungjawab saya sebagai manusia Islam untuk meninggalkan jawatan itu.

 

"Saya terima ia sebagai satu takdir, qada dan qadar tapi ia tidak melemahkan semangat saya untuk terus membuat apa yang saya fikirkan wajar dan betul di sisi Allah. Itu jadi panduan saya.

 

"Soal menyesal atau tidak, tidak pernah berbangkit dalam kamus hidup saya kerana apa yang paling utama adalah amanah yang saya pikul untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya dan mengutamakan rakyat," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau menyesal melepaskan jawatan Perdana Menteri dalam program temubual Agenda Awani, malam tadi.

 

Muhyiddin yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, soal menyesal dengan tindakan peletakan jawatan itu tidak timbul kerana apa yang dilakukannya adalah mendokong prinsip Perlembagaan selepas hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

 

Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu selepas beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

 

Susulan itu, Datuk Seri Ismail Sabri yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen.

 

“Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik, saya tahu politik, bukan saya tidak tahu berbahas, hentam lawan (dalam politik). Tetapi saya tahu rakyat susah, saya akan dimarahi kalau saya buat begitu kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.

 

“Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri (dahulu) dan walaupun tidak lagi kini, (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. That is what we have been doing and I think we have been quite successful in that area,’’ ujar beliau.

 

Pada 4 September lalu, Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN, majlis yang ditubuhkannya ketika beliau menerajui negara, yang berperanan memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak COVID-19 secara holistik.

 

 

mpn

 

 

Mengenai bidang kuasanya sebagai Pengerusi MPN, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri memaklumkan, ia masih sama seperti ketika beliau mempengerusikannya sebelum ini, kecuali yang membabitkan soal kewangan.

 

"Ini bermakna, jika ada keputusan yang dibuat MPN nanti, maka itu harus kita laksanakan terus, terutama mengenai dasar.

 

"Skop (tugas) yang diberikan pada saya cukup baik. Saya boleh buat keputusan segera dan ini tidak boleh berlengah-lengah," katanya.

 

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mula mengatur keutamaan yang perlu diberikan MPN bagi memastikan perancangan yang dibuat tepat dan sampai kepada kumpulan sasar.

 

"Jadi, apa yang saya harapkan adalah sokongan ahli MPN, tidak kisah daripada kerajaan, pembangkang atau profesional.

 

"Kita harus ketepikan soal itu kerana apa yang penting adalah menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat," katanya.

 

Beliau pada masa sama memuji langkah kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru-baru ini memeterai kerjasama dwipartisan menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) diatas dasar untuk membawa kestabilan kepada negara.

 

“Bagi saya kalau itu dapat kita lakukan tidak kira, asalkan tidak ada gangguan politik yang berpanjangan. (Seperti) baru-baru ini yang saya lihat MoU Kerajaan dan Pakatan Harapan dapat meredakan (keadaan) dan memberikan lebih masa untuk menumpukan kerja induk. – DagangNews.com