Tidak mengejutkan jika telco bergabung - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Tidak mengejutkan jika telco bergabung - Kenanga

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Susulan kerjasama antara 3 syarikat telekomunikasi di negara ini, Kenanga Research tidak menolak kemungkinan berlaku penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam industri pada masa hadapan.

 

Menurut firma penyelidikan ini, perkara itu adalah tidak mengejutkan terutama dalam usaha untuk memperkukuhkan asas infrastruktur dan pelanggan serta penjimatan kos menerusi sinergi. 

 

Sebelum ini, terdapat khabar angin syarikat induk Digi, Telenor dan Celcom Axiata telah memulakan perbincangan kemungkinan ke arah penggabungan. 

 

"Meskipun penggabungan ini mungkin membawa manfaat yang strategik, tetapi kami percaya kegagalan bagi rundingan ini merangkumi 'kerumitan' merentasi 14 entiti dan 9 wilayah, perselisihan penguasaan ekuiti dan penempatan semula gabungan entiti dari Malaysia ke Singapura, mungkin menghalang urus niaga ini diteruskan," katanya nota kajian hari ini. 

 

Dalam kenyataan bersama semalam, syarikat pengendali mudah alih, Celcom Axiata Bhd (Celcom), Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) dan Maxis Bhd (Maxis) memaklumkan mereka memuktamadkan perjanjian itu bagi tempoh selama 20 tahun. 

 

Tiga syarikat itu juga memberitahu, kerjasama berkenaan membolehka peningkatan sambungan 4G kepada seluruh rakyat Malaysia dan menambahkan infrastruktur fiber negara seiring  aspirasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) serta mempersiapkan infrastruktur menara untuk rangkaian 5G pada masa depan.

 

Kerjasama ini juga membolehkan industri memperluaskan rangkaian 4G untuk menyokong tapak baharu 5G dan penyaluran fiber ke kediaman, perkongsian infrastruktur, menara dan lebar jalur antara pengendali adalah amalan biasa.

 

Pengumuman itu dibuat setahun selepas ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memanfaatkan sumber daya satu sama lain untuk menyalurkan rangkaian fiber yang lebih luas dan efisien, menunjukkan pencapaian terbaik dalam memajukan Malaysia menuju negara digital dengan penyediaan sambungan digital berkualiti di seluruh negara.

 

Bagaimanapun, menurut Kenanga Research, kerjasama membabitkan 3 syarikat telekomunikasi di negara ini bagi pembangunan dan perkongsian infrastruktur fiber akan menyaksikan persaingan sengit dalam ruang mudah alih.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat, perjanjian itu dapat memberi manfaat kepada rakan usaha sama melalui 3 cara berbeza termasuk mengurangkan keperluan perbelanjaan modal (capex), memperluaskan rangkaian fiber kepada operator dan mengurangkan pertindihan aset 

 

Malah, katanya, syarikat telco ini akan meraih manfaat daripada kos yang rendah dan liputan fiber secara meluas.

 

"Kami gembira dengan kerjasama ini kerana ia bukan sahaja bersesuaian dari segi kewangan dan operasi syarikat ini tetapi memberi manfaat kepada masyarakat. 

 

"Ini termasuklah dari segi akses yang lebih baik kepada sambungan fiber yang murah dan menggunakan sumber dengan cekap," katanya.

 

Menurutnya lagi, pendapatan perkhidmatan syarikat telco ini akan terkesan dengan persaingan harga terutama apabila spektrum 5G dimiliki oleh syarikat milik kerajaan, Digital Nasional Bhd. (DNB) dan telco pula terus berkongsi infrastruktur backhaul. 

 

"Ini disebabkan mereka juga akan menawarkan kualiti perkhidmatan 5G yang hampir sama," katanya.  

 

Tambahan pula, dengan memanfaatkan kapasiti perkongsian 5G, syarikat pengendali mudah alih ini boleh memburukkan lagi situasi persaingan harga yang sengit bagi tawaran mudah alih.  

 

Penubuhan DNB ini dibuat di bawah inisiatif MyDigital melibatkan pelaburan berjumlah RM15 bilion untuk melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara. - DagangNews.com