Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Jiwo Niago - 18 August 2020

TIDAK SEMUA BISNES PERLU MODAL TINGGI

 

Ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Namun, ramai yang gagal untuk memulakannya kerana adanya mindset yang mempercayai bahawa memulakan sesuatu perniagaan memerlukan jumlah modal yang tinggi.

Sebenarnya semua jenis perniagaan, tidak kira kecil atau besar, memerlukan sumber kewangan. Aktiviti perniagaan amat memerlukan sumber wang sama ada sebagai modal permulaan atau modal pusingan. Besar atau kecilnya modal yang diperlukan bergantung kepada pelbagai faktor. Namun, semakin tinggi modal yang dilabur, semakin tinggi pula risiko yang ditanggung. Semakin tinggi risiko yang ditanggung semakin tinggi untung yang boleh dijana.

Saiz modal

Walaupun anda memerlukan modal untuk memulakan perniagaan, tidak semestinya anda perlu bermula dengan jumlah yang tinggi. Saiz modal bergantung kepada pelbagai faktor seperti bidang perniagaan, lokasi, keperluan sumber dan sebagainya. Ukuran tinggi atau rendah jumlah modal merupakan suatu yang subjektif.

Bagaimanapun, biasanya modal perniagaan boleh dianggap rendah jika jumlahnya tidak melebihi RM2,000. Pada peringkat permulaan, anda mungkin tidak perlu mengeluarkan jumlah modal yang banyak jika anda dapat melaksana beberapa strategi pengendalian perniagaan.

Pilih bidang yang sesuai

Terdapat banyak jenis perniagaan yang tidak memerlukan jumlah modal yang besar untuk memulakannya tetapi mampu memberi pulangan yang lumayan. Yang penting, jenis produk atau perkhidmatan yang dipilih hendaklah yang sesuai, bukan sahaja sesuai dengan minat dan selera anda tetapi juga sesuai dengan keperluan dan cita rasa pelanggan di samping mampu memberi pulangan kepada anda.
 

asa
Pilih perniagaan yang sesuai dengan minat dan hobi anda.

Jika produk atau perkhimatan yang ditawarkan menepati trend masa kini, ia akan mendapat lebih perhatian di kalangan masyarakat. Lebih menarik lagi jika bidang perniagaan yang dipilih sesuai dengan minat dan hobi anda, maka sudah tentu anda akan memberi lebih perhatian kepada perniagaan tersebut. Perniagaan yang diusahakan juga hendaklah tidak bertentangan dengan hukum agama dan nilai kemanusian serta mematuhi prosedur dan peruntukan undang-undang negara dan pihak berkuasa tempatan.

Perniagaan secara separuh masa

Jika anda mempunyai pekerjaan tetap, anda tidak perlu berhenti kerja untuk memulakan perniagaan. Anda boleh lakukan secara sambilan pada peringkat permulaan. Sekurang-kurangnya sebahagian daripada gaji anda boleh dijadikan modal bagi memulakan perniagaan tersebut. Perniagaan yang dimulakan secara separuh masa juga dapat memberi sedikit sebanyak pengalaman kepada anda dalam dunia perniagaan. Adalah lebih baik anda berjinak-jinak berniaga secara sambilan terlebih dahulu bagi mengelakkan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Jika perniagaan telah berkembang, anda bolehlah berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan tersebut.

Perniagaan dari rumah

Kos mengendalikan perniagaan dari rumah adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kewujudan premis atau kedai. Pada peringkat permulaan, tidak semua jenis perniagaan memerlukan premis atau kedai. Jika anda menjalankan perniagaan dari rumah, anda tidak perlu menanggung kos tambahan seperti sewa, deposit sewa, ubah suai, bil utiliti dan sebagainya. Ramai yang telah berjaya menjalankan perniagaan tanpa ada premis atau kedai terutama perniagaan yang dijalankan secara atas talian.

Anda mungkin juga berminat berniaga melalui kaedah “dropship”. Melalui kaedah ini, mungkin tiada kos yang ditanggung atau kosnya sangat rendah kerana anda tidak perlu menguruskan barangan secara langsung. Anda akan menerima tempahan dan bayaran daripada pelanggan dan anda hanya perlu membuat pesanan daripada pembekal. Selain daripada itu anda juga boleh memilih untuk menjadi agen produk atau agen insurans/unit amanah yang tidak memerlukan modal yang tinggi.

Perniagaan tanpa meminjam

Tidak semua jenis perniagaan memerlukan pinjaman jika modal permulaannya agak rendah. Biasanya perniagaan yang baru nak bermula agak sukar untuk mendapat pinjaman dari bank atau institusi kewangan berbanding perniagaan yang telah lama berjalan. Tiada keperluan untuk meminjam pada peringkat awal perniagaan kerana anda akan dibebani dengan kos faedah pinjaman yang agak tinggi berbanding pulangan yang anda terima.

Kenali bakal pelanggan

Mengenali bakal pelanggan merupakan antara perkara yang paling penting yang perlu anda fikirkan terlebih dahulu sebelum merangka apa-apa strategi atau aktiviti pemasaran. Untuk mengenali dengan lebih dekat bakal pelanggan, anda perlu lakukan sedikit kajian atau pemerhatian terhadap kecenderungan, tabiat dan cita rasa mereka. Tujuan mengkaji pelanggan adalah untuk mengenal pasti perkhidmatan atau produk yang boleh anda tawarkan bagi memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Mengenali pelanggan juga dapat membantu anda menentukan kekerapan mereka membeli produk atau perkhidmatan yang akan ditawarkan sama ada setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali. Yang paling penting, anda boleh membuat anggaran saiz pasaran dan mengira anggaran jualan.

Sewa peralatan atau beli barang terpakai

Pada peringkat awal anda tidak perlu membeli peralatan jika boleh disewa. Bayaran sewa sesuatu peralatan yang dibuat secara bulanan biasanya lebih rendah berbanding harga belian. Jika sukar mendapat khidmat sewa peralatan, anda boleh membeli barang-barang terpakai seperti laptop, peralatan kedai, mesin dan sebagainya dengan harga yang jauh lebih murah. Selepas perniagaan berkembang, bolehlah difikirkan untuk membeli peralatan baru jika perlu.

Jualan secara tunai sahaja

Pada peringkat awal, elakkan menjual secara hutang. Jualan secara tunai dapat membantu anda mengurangkan pengeluaran modal sendiri kerana wang tunai yang diterima boleh digunakan semula dengan segera sebagai modal pusingan. Jualan secara tunai juga dapat mengelak daripada meminjam.

cash

Fokus pada satu bidang sahaja

Pada peringkat awal anda perlu memberi fokus kepada satu bidang tertentu sahaja. Cuba elak daripada menjalankan pelbagai perniagaan dalam satu-satu masa, lebih-lebih lagi jika kesemua perniagaan tersebut dari bidang yang berbeza. Masalah akan timbul apabila anda tidak fokus pada satu jenis perniagaan atau satu jenis industri kerana tumpuan terpaksa diberikan juga kepada bidang-bidang lain.  Masa dan tenaga pula semakin terhad apabila terlalu banyak perkara perlu dilakukan dan difikirkan, akhirnya tidak satu pun yang menjadi kenyataan bak kata pepatah “berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap”.

Utamakan produk `keperluan' berbanding produk `kehendak'

Untuk memulakan sesuatu perniagaan anda digalakkan memilih barangan yang dikategorikan sebagai produk keperluan. Produk keperluan bermaksud produk yang sangat diperlukan oleh pengguna bagi memenuhi keperluan asas dan jika produk tersebut tidak ada, pengguna akan menghadapi kesulitan. Lazimnya pengguna akan cuba sedaya upaya memenuhi keperluan asas terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang keperluan yang lain (kehendak).

Selalunya produk keperluan merupakan produk yang laris dan cepat habis kerana setiap hari sentiasa ada orang yang membelinya. Dengan menjual produk keperluan, anda boleh dapatkan semula modal dengan cepat di samping dapat menjana keuntungan dengan segera. Walaupun margin keuntungan bagi setiap produk agak kecil, kekerapan pelanggan membeli produk tersebut adalah tinggi.

Beberapa contoh produk keperluan asas yang boleh difikirkan ialah pakaian harian, makanan dan minuman, tudung, serbuk/cecair pencuci, produk kesihatan, peralatan dapur, barang permainan kanak-kanak, alat solek, alat keperluan ibadah, alat ganti kenderaan, aksesori telefon bimbit, peralatan sukan, cenderahati, dan sebagainya.   

Tawar perkhidmatan yang sesuai dengan kepakaran sendiri.

Berniaga dalam bidang perkhidmatan banyak bergantung kepada kepakaran dan kemahiran yang anda miliki. Kepakaran anda merupakan `modal' utama perniagaan. Dengan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki, anda akan menukarkannya kepada wang sebagai pulangan daripada perkhidmatan yang ditawarkan. Boleh dikatakan semua bidang perkhidmatan berpotensi untuk berkembang dalam jangka masa panjang. Beberapa contoh perkhidmatan yang boleh ditawarkan ialah penulisan e-buku, penyuntingan grafik, fotografi, membina laman web, jahitan, khidmat pembersihan, membaiki alat elektrik, membaiki komputer, dan sebagainya.

Saya ingin merumuskan bahawa tidak semua jenis perniagaan memerlukan modal permulaan yang besar. Mulakanlah perniagaan anda walaupun secara kecil-kecilan. Insya-Allah perniagaan akan berkembang pada masa hadapan. Jangan malu untuk belajar daripada orang lain yang telah berjaya.

Apa pun, perlu diingatkan, modal perniagaan tidak semestinya dalam bentuk wang tunai. Minat, kesungguhan, pengalaman, pengetahuan, dan kemahiran juga merupakan `modal perniagaan' yang amat tinggi nilainya.

 

Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

Portfolio Tags