Skip to main content

Tiga acara utama diatur sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Program Jelajah Kembara Connectivity di Padang Majlis Daerah Ketereh, Kelantan yang merupakan sebahagian daripada acara sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

logo

 

 

SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM 2022) tahun ini bermula pada tanggal 1 Julai lalu dengan pelancaran logo dan tema sambutan.

 

Di sebalik sambutan HKHM yang berlangsung sepanjang bulan Ogos dan September ini, Kementerian  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) selaku Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 tahun ini, telah merancang pelbagai program dan acara bagi memeriahkan sambutan.

 

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat di Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Datuk  E. Sivabalan berkata di sebalik pelbagai acara tersebut, terdapat tiga acara utama yang akan menjadi tunjang kepada sambutan HKHM 2022.

 

“Seperti kebiasaannya pada setiap tahun, akan ada tiga acara utama yang menjadi tunjang sambutan HKHM iaitu pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang, yang berlangsung pada 30 Julai ini di Putrajaya.

 

“Kedua ialah sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

 

“Acara pertama sempena HKHM 2022 tahun ini berlangsung pada 1 Julai lalu dengan pelancaran logo dan tema sambutan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Angkasapuri, Kuala Lumpur,” katanya.

 

Mengulas mengenai pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang pada 30 Julai nanti, Sivabalan berkata acara terpenting pada hari berkenaan ialah program ‘Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia’ yang akan berlangsung di Dataran Putra, Putrajaya.

 

Datuk Sivabalan Ethirmanasingham
                Datuk Sivabalan Ethirmanasingham

 

Program tersebut jelasnya, merupakan aktiviti berjalan secara santai secara beramai-ramai melibatkan jarak sekitar 2.7 kilometer bermula seawal pukul 6.30 pagi dari bulatan Dataran Putrajaya sehingga ke hadapan bangunan Istana Kehakiman.

 

“Program tersebut merupakan himpunan Keluarga Malaysia melibatkan pelbagai bangsa, agama, gender dan peringkat umur yang dianggarkan melebihi melibatkan 10,000 peserta.

 

kkomm
Warga kota dijemput untuk memeriahkan program Berjalan Teguh Bersama yang dijadualkan  pada 30 Julai ini di Dataran Putra, Putrajaya.

 

“Keluarga Malaysia akan bersama-sama dengan barisan kepimpinan tertinggi negara termasuk ahli kabinet dan kepimpinan jabatan kerajaan, akan berjalan bersama-sama dalam suasana santai melalui beberapa hentian.

 

“Di setiap hentian tersebut, akan berlangsung pelbagai acara sampingan, termasuk persembahan kesenian dan kebudayaan, persembahan pancaragam sekolah, maskot Upin dan Ipin, dan lain-lain lagi.

 

“Sebagai menunjukkan tanda kebersamaan dalam kalangan Keluarga Malaysia, setiap peserta yang terlibat akan digalakkan untuk memakai baju berwarna merah dengan 5,000 peserta terawal juga akan diberi sehelai baju T merah secara percuma,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Sivabalan berkata bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, pelancaran Program Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM 2022) akan bermula di Putrajaya, pada 30 Julai. 

 

AKM

 

Program itu yang akan dilepaskan oleh Perdana Menteri, katanya berkonsepkan ‘pass baton’, dengan peserta membawa Baton Jalur Gemilang ke seluruh negara, dengan acara penyerahan dibuat di setiap sempadan Negeri.

 

“Simbolik KKM 2022 adalah berbentuk perarakan Baton Jalur Gemilang yang dibawa dan diserahkan di setiap check point negeri-negeri seluruh Malaysia.

 

“Konvoi yang disertai 600 peserta ini akan menjelajah ke seluruh negara melalui perjalanan di Semenanjung Malaysia, Sabah & Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bermula dari 30 Julai di Putrajaya dan berakhir pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2022.

 

“Ia turut melibatkan 412 buah kenderaan dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kelab permotoran dari pelbagai latar belakang.

 

kkomm
PESERTA program Jalur Gemilang menyertai acara senam robik sempena pelancaran Program Jelajah Kembara Connectivity yang diadakan di Padang Majlis Daerah Ketereh, Kelantan baru-baru ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65.

 

“Kembara tersebut akan menonjolkan keunikan di setiap hentian bagi mengetengahkan keunikan Keluarga Malaysia di setiap lokasi dari segi budaya, makanan, tarikan setempat dah gaya hidup komuniti setempat,” katanya.

 

Dalam pada itu, menurut Sivabalan , bagi Rakyat Malaysia berada jauh dari Putrajaya termasuk di luar negara, mereka masih boleh menyaksikan kemeriahan sambutan HKHM 2022 yang akan dipertontonkan secara langsung menerusi Facebook Live K-KOMM.

 

Malah, orang ramai juga boleh menyaksikan semua acara yang dijalankan menerusi portal Merdeka 360 di http://merdeka360.my/ termasuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai sambutan HKHM 2022. - DagangNews.com