Tiga syarikat pengeluar rokok mohon Perdana Menteri kaji semula GEG | DagangNews Skip to main content

Tiga syarikat pengeluar rokok mohon Perdana Menteri kaji semula GEG

Berikut adalah salinan surat rasmi Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia kepada Perdana Menteri:

30 Julai 2022

 

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI
Pejabat Perdana Menteri
Blok Utama,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya

 

 

YAB Dato’ Sri,

 

Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) yang terdiri daripada British American Tobacco (Malaysia) Bhd, JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, menggesa Kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji semula Rang UndangUndang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang akan melarang individu dilahirkan dari 2007 dari membeli, memiliki dan menggunakan rokok, tembakau yang dipanaskan atau vape.

 

Sejarah menunjukkan bahawa langkah larangan seperti ini kebiasaannya tidak produktif, terutamanya jika ia dilaksanakan terhadap orang dewasa.

 

Larangan tidak akan menyebabkan sesuatu produk yang dilarang itu hilang dan sekatan umur tidak menjadikannya tidak dapat diperolehi oleh mereka di dalam lingkungan umur.

 

Sebaliknya, larangan atau sekatan terhadapnya hanya akan mengubah cara produk itu dibekalkan, siapa yang membekalkannya dan kadar harga – kadangkala pada harga yang lebih rendah jika cukai dielakkan secara haram.

 

Impak negatif kepada ekonomi

Walaupun Rang Undang-Undang hanya bertujuan memberi kesan kepada mereka yang lahir selepas 2007 dan penguatkuasaan mungkin hanya akan bermula pada 2025, ia mempunyai lebih banyak kesan kepada ekonomi secara keseluruhan.

 

Cadangan Generasi Penamat ini bersifat menghukum dan ia menghukum semua. Para peniaga akan merasa sukar untuk melaksanakan beberapa peruntukan undang-undang tertentu dan dalam beberapa kes, ia juga akan meningkatkan kos pematuhan.

 

Dengan kos pematuhan yang lebih tinggi disebabkan Rang Undang-Undang tersebut, syarikat dan para peniaga akan berhadapan kesukaran untuk mengekalkan daya saing dalam keadaan ekonomi yang sukar ini. Sebahagiannya mungkin terpaksa menutup perniagaan mereka, menyebabkan beribu-ribu pekerja menganggur.

 

Dalam situasi lain, para peniaga mungkin terpaksa mengambil langkah pemotongan kos untuk memastikan kos keseluruhan dapat dikawal.

 

Secara tidak langsung, Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 juga berkemungkinan memberi kesan negatif kepada daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan kerana fungsinya yang terhad.

 

Pelancongan di negara ini juga mungkin terjejas kerana kuasa penguatkuasaan diberikan di bawah Rang Undang-Undang tersebut sangat luas dimana ia menjenayahkan individu, termasuk pelancong dan pemilik perniagaan.

 

Serangan terhadap kebebasan peribadi

Selain memberi kesan kepada ekonomi negara, Rang Undang-Undang tersebut menarik kebebasan peribadi warganegara. Orang dewasa dianggap berhak mengawal diri mereka sendiri dan tiada pihak berkuasa boleh membatalkan hak ini.

 

Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah digubal untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna dan hak yang diberikan oleh Akta ini tidak boleh dibatalkan. Ini dinyatakan dalam Seksyen 6 Akta tersebut, yang menyatakan bahawa Akta tersebut tetap akan terpakai walaupun cuba dihadkan melalui kontrak. Pengguna mempunyai kebebasan
untuk memilih, yang merupakan hak mereka sebagai pengguna.


Penalti yang kejam

Penalti yang sangat berat dikenakan kepada mereka yang gagal untuk mematuhi Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022. Generasi masa depan kita akan tertakluk kepada penguatkuasaan yang keras, menghadapi kemungkinan penggeledahan kenderaan dan rumah, pemeriksaan telefon dan akses secara paksa kepada data peribadi.

 

Lebih membimbangkan, Rang Undang-Undang tersebut bakal memberikan kuasa penguatkuasaan yang sangat luas kepada pegawai yang diberi kuasa, seperti kuasa untuk mengakses data peribadi yang memerlukan pengguna untuk memberikan kata laluan peranti mereka; untuk membuka beg seseorang; menahan dan menggeledah kenderaan; dan memasuki rumah seseorang secara paksa untuk menggeledah dan menyita, dengan waran atau tanpa waran, termasuk pemeriksaan badan.

 

Daripada mewujudkan generasi bebas asap rokok, Malaysia sebaliknya boleh mewujudkan generasi baharu dipenuhi penjenayah yang dihukum kerana membeli atau menggunakan bahan yang dibenarkan secara sah kepada orang lain.
Ledakan pasaran tembakau dan vape haram.

 

Kami maklum bahawa menggunakan undang-undang untuk mengharamkan sesuatu produk tidak semestinya menghilangkan atau membasmi kewujudannya. Kebiasaannya ia hanya akan mengakibatkan ia terjerumus ke pasaran gelap dan menjadi industri haram.

 

Di Malaysia, pasaran haram produk tembakau yang sangat besar telah wujud dengan anggaran hampir 60% rokok dijual secara haram. Skala perdagangan tembakau haram di Malaysia tidak boleh dipandang remeh. Sindiket jenayah ini banyak bilangannya, sangat canggih dan cepat menyesuaikan diri dalam apa jua perubahan keadaan.

 

Angka industri menunjukkan bahawa larangan secara terang-terangan boleh mengakibatkan insiden perdagangan haram meningkat daripada 57.7% pada Mei 2022, kepada setinggi atau lebih daripada 63.8% seperti tahun 2020. Ini akan menyaksikan kehilangan hasil kerajaan daripada industri tembakau melebihi paras RM5 bilion.

 

Malaysia yang berbeza untuk generasi akan datang

Walaupun kami mempunyai banyak kebimbangan dengan Rang Undang-Undang tersebut, kebimbangan terbesar kami ialah kita sedang membentuk Malaysia untuk generasi akan datang yang berbeza sama sekali daripada negara progresif seperti sekarang.

 

Rang Undang-Undang itu mempengaruhi kesaksamaan dalam kalangan rakyatnya.

 

Berdasarkan dasar tersebut, individu yang lahir pada Disember 2006 dan individu yang lahir pada Januari 2007 akan menerima undang-undang yang berbeza secara sah.

 

Generasi akan datang tidak mempunyai pilihan selain akur kepada semakan kad pengenalan bagi orang dewasa, yang bercanggah dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA). Orang dewasa yang bekerja kelak perlu menyembunyikan tabiat mereka dan menggunakan tembakau, produk tembakau yang dipanaskan atau menghisap vape di
lorong dan sudut gelap serta diselubungi perasaan takut ditangkap menggunakan bahan haram. Mereka akan didiskriminasikan dan individu tersebut mungkin merasakan bahawa mereka tidak dilayan secara adil.

 

Produk bebas asap telah muncul dalam pasaran berikutan inovasi saintifik global serta kemajuan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini. Adalah penting bagi Malaysia untuk mencapai keseimbangan Rang Undang-Undang antara kesihatan awam dan inovasi pasaran yang sebelum ini telah menyaksikan kejayaan dalam menyediakan alternatif
kepada perokok dewasa.

 

YAB Perdana Menteri,


Kami berharap surat kami telah membangkitkan perbahasan mengenai langkah-langkah yang sesuai untuk menangani pengawalseliaan produk rokok, tembakau yang dipanaskan atau vape di Malaysia. Kami berharap Kerajaan akan mempertimbangkan peruntukanperuntukan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, dan
kesan kesan yang tidak diingini akibatnya.

 

Kami berbesar hati untuk memberikan maklumat lanjut atau menjawab sebarang soalan yang timbul.

 

Yang ikhlas,

 


GABUNGAN PENGILANG TEMBAKAU MALAYSIA
_______________                 _______________             _________________
Nedal Salem                           Khoo Bee Leng                   Naeem Shahab Khan
Managing Director,                 Managing Director,              Managing Director,
British American Tobacco       JT International Berhad       Philip Morris (Malaysia) 
(Malaysia) Bhd                                                                   Sdn Bhd

 

Artikel ini adalah salian surat rasmi CMTM kepada Perdana Menteri - DagangNews.com