TIM 2021-2030 realisasikan sasaran RM29 bilion hasil industri mineral | DagangNews Skip to main content

TIM 2021-2030 realisasikan sasaran RM29 bilion hasil industri mineral

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dijangka memacu usaha mengembalikan kegemilangan industri mineral negara seterusnya membawa manfaat kepada rakyat Malaysia.

 

Ini sekaligus merealisasikan sasaran sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan meningkat kepada RM29 bilion menjelang tahun 2030.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan amat komited dalam memastikan pelan tersebut berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan khususnya bagi mengangkat kembali industri itu menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara. 

 

“TIM 2021-2030 yang telah dibangunkan ini merupakan agenda baharu negara yang akan menjadi rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri ini dapat dibangunkan secara holistik.

 

“Menyedari nilai strategik industri ini kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara, kita perlulah membangunkan industri ini secara bertanggungjawab dan mampan.

 

“Kerajaan yakin dengan pelan yang dibangunkan ini, kita mampu mencapai tahap industri mineral masa hadapan yang diurus secara bersih dan cekap dengan mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini yang mesra alam,” ucap Muhyiddin dalam majlis pelancaran TIM 2021-2030 hari ini. 

 

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Majlis Mineral Negara, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

 

Tambah Muhyiddin, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta wakil kerajaan persekutuan dan negeri telah memberikan pandangan masing-masing dan mempersetujui Kerangka Pelan TIM 2021-2030 dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara Pertama pada 16 Februari 2021.

 

Sehubungan itu, beliau menyarankan sesi-sesi konsultasi dan libat urus perlu diteruskan bersama pihak kerajaan persekutuan dan negeri, penggiat industri, ahli akademik serta masyarakat bagi menggarap idea-idea terbaik dalam membangunkan industri itu.

 

Ujar beliau, industri mineral tidak lagi boleh dilihat sebagai suatu industri yang hanya digerakkan oleh pihak industri tanpa ada sentuhan kepada kehidupan rakyat.

 

Walaupun negara melalui zaman kegemilangan industri mineral pada suatu ketika dahulu, keadaan tersebut tidak lagi sama pada ketika ini. 

 

“Industri ini bukan sahaja bergantung kepada kuantiti sumber mineral yang kita miliki tetapi juga kepada kebijaksanaan kita mengambil peluang terhadap permintaan yang tinggi di peringkat global. 

 

“Ini boleh kita lakukan dengan menyediakan infrastruktur yang menyokong perkembangan industri, sumber manusia yang mencukupi serta penggunaan teknologi termoden untuk meningkatkan produktiviti,” ucap Muhyiddin lanjut.

 

Pertumbuhan industri mineral di peringkat pertengahan dan hiliran juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai tenaga mahir tempatan dan membawa pulangan yang lebih tinggi kepada negara.

 

Muhyiddin optimis daya saing industri mineral dapat ditingkatkan agar setanding dengan negara-negara perlombongan yang maju antaranya Amerika Syarikat (AS), Perancis, Jepun, China, Australia dan Kanada. - DagangNews.com