Timbalan Pengerusi CMS ambil cuti, bantu siasatan dakwaan konflik kepentingan | DagangNews Skip to main content

Timbalan Pengerusi CMS ambil cuti, bantu siasatan dakwaan konflik kepentingan

 

KUALA LUMPUR 23 April – Pengarah dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak Bhd, Datuk Sri Mahmud Abu Bekir Taib mengambil cuti dari peranannya di dalam syarikat bagi membantu siasatan ke atas dakwaan berlakunya konflik kepentingan.

 

Tuduhan tersebut, menurut Cahya Mata Sarawak dalam pemberitahuannya kepada Bursa Malaysia, diterima menerusi saluran pemberi maklumat rahsia yang disediakan oleh syarikat.

 

"Setelah menerima aduan pemberi maklumat tersebut, sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa, Lembaga Pengarah segera melakukan penyiasatan penuh untuk melaksanakan tugas fidusiarinya bagi melindungi secara terbaik kepentingan Syarikat dan pemegang sahamnya,” kata CMS.

 

Pada Khamis, syarikat itu telah melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan konflik kepentingan membabitkan Mahmud Abu Bekir Taib dan bekas Ketua Pegawai Maklumat, Karl Vink @ Khalid Abdullah.

 

Mahmud Abu Bekir Taib
Mahmud Abu Bekir Taib

 

"Bagi membantu penyiasatan penuh dan telus oleh pihak berkuasa, Datuk Sri Mahmud Abu Bekir Taib telah secara sukarela mengambil cuti daripada semua peranannya di dalam Kumpulan,” kata CMS lagi.

 

"Lembaga Pengarah menjamin kepada semua pemegang saham bahawa kami menjunjung standard tertinggi tadbir urus korporat yang diharapkan terhadap Lembaga Pengarah dan melaksanakan tugas fidusiari kami ke tahap terbaik yang semampunya,” kata syarikat itu. – DagangNews.com