Tindakan Astaf halang pemain luar sertai STL tidak adil | DagangNews Skip to main content

Tindakan Astaf halang pemain luar sertai STL tidak adil

Oleh NOR AZAN FITRIAHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Tindakan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menghalang pemain dari luar untuk menyertai saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang akan berlangsung bulan depan adalah tidak adil kerana ia bakal merencatkan pembangunan sukan tradisional itu di rantau ini.

 

Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, mereka yang dipanggil untuk menyertai kejohanan itu kebanyakannya terdiri daripada pemain kelab dan bukan pemain kebangsaan.

 

Beliau berkata, pemain-pemain yang terlibat memerlukan pertandingan kompetitif dan STL adalah antara platform yang ada untuk mereka bersaing menunjukkan kemampuan sebenar mereka.

 

"Johor akan menggunakan khidmat pemain dari Thailand dalam edisi kali ini, mereka ini adalah pemain daripada kelab sepak takraw di sana dan bukan pemain kebangsaan.

 

"Kalau Astaf nak tekan semua pemain dan tidak membenarkan mereka beraksi di STL, saya anggap tindakan ini tidak adil untuk pemain-pemain ini," katanya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor.

 

Sebelum ini, Astaf mengesan empat pemain dari Thailand akan mewakili Perak, Johor, Pulau Pinang dan Bomba dalam saingan yang dijadualkan bulan depan.

 

keje

 

Pemain import berkenaan adalah Anuwat Sombatdee yang mewakili Perak, Swatbanchan Seekhwa (Johor), Aekasit Naphom (Pulau Pinang) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba).

 

Astaf menegaskan bahawa pihak penganjur kejohanan iaitu PSM sudah disingkirkan sebagai ahli naungan mereka dan sekiranya didapati terdapat pelanggaran, pemain boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk penggantungan atau didenda maksimum sehingga AS$10,000 (RM41,951).

 

keje

 

Sementara itu, Abdul Halim meminta supaya Astaf tidak terlalu menyekat program pembangunan yang dijalankan PSM kerana mereka hanya mahu membangunkan sukan itu dan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

 

keje

 

"Jangan terlalu menekan PSM, jangan tolak PSM sampai ke dinding sehinggakan kami tidak boleh lakukan proses pembangunan.

 

"STL adalah satu-satunya kejohanan liga yang berlangsung di rantau ini dan kalau kami tidak anjurkannya, adakah Astaf atau Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) akan anjurkan pertandingan seperti ini?," katanya. - DagangNews.com