Tindakan Mitsubishi UFJ di dalam Media Prima dipersoal penganalisis saham | Dagang News Skip to main content

Tindakan Mitsubishi UFJ di dalam Media Prima dipersoal penganalisis saham

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Tindakan pemegang kepentingan ketiga terbesar Media Prima Berhad, Mitsubishi UFJ Financial Group Inc. (Mitsubishi UFJ) yang menjual saham syarikat itu secara besar-besaran telah mencetuskan 'teka-teki'.

 

Langkah itu turut menimbulkan persoalan firma penyelidikan, CGS-CIMB Research apabila saham-saham berkenaan didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada kos pelaburan Mitsubishi UFJ dalam Media Prima.

 

“Pengiraan ‘back-of-the-envelope’ (pantas dan tanpa butiran terperinci) kami mendapati bahawa purata kos pelaburan Mitsubishi UFJ dalam Media Prima sejak muncul sebagai pemegang saham besar pada 4 April 2017 adalah pada kadar 77.6 sen. 

 

“Kami perhatikan bahawa jualan saham Mitsubishi UFJ setakat ini berlaku apabila saham (Media Prima) didagangkan pada kira-kira 60 sen, dan berhenti apabila kaunter itu lebih rendah daripada paras berkenaan,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian.

 

Perkara ini mula menarik perhatian CGS-CIMB apabila saham Media Prima jatuh dengan ketara selepas Mitsubishi UFJ menjual sahamnya dengan agresif,  setelah harga saham syarikat berkenaan melonjak sehingga paras tinggi 75 sen pada 4 Mac 2021.

 

CGS-CIMB mendedahkan Mitsubishi UFJ mula menjual saham Media Prima pada 12 April 2021, dengan lebih 12 juta atau 1.1% daripada jumlah saham syarikat dijual ke pasaran terbuka setakat ini. 

 

“Pada hari Mitsubishi UFJ menjual saham Media Prima itu, penjualannya mencatatkan peratusan dua digit daripada jumlah perolehan kaunter tersebut, melonjak setinggi 68.6% dalam masa sehari,” tambah CGS-CIMB lagi. 

 

Menurut CGS-CIMB lagi, yang memetik dakwaan sumber menerusi beberapa laporan media, Mitsubishi UFJ didakwa memegang saham-saham berkenaan untuk Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. 

 

Sebagai rekod, Syed Mokhtar merupakan pemegang saham terbesar Media Prima, memiliki kepentingan 31.9% menerusi Aurora Mulia Sdn. Bhd., diikuti oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15.2%) dan Mitsubishi UFJ (11.7%).

 

Media Prima dalam satu makluman di Bursa Malaysia pada 4 Mac 2020 memberitahu bahawa kepentingan yang dipegang oleh Syed Mokhtar dalam syarikat sepenuhnya menerusi Aurora Mulia.

 

Setakat 15 Jun 2021, saham Media Prima didagangkan pada paras empat bulan terendah, iaitu 45.5 sen. 

 

Dalam pemerhatian CGS-CIMB, pihaknya tidak melihat terdapat sebarang berita negatif yang boleh menyebabkan kepada penurunan harga berkenaan. 

 

CGS-CIMB menjangkakan sekiranya Mitsubishi UFJ terus menjual saham Media Prima, ini akan mendatangkan risiko ‘overhang’ terhadap saham syarikat. 

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Media Prima dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar 88 sen sesaham.

 

Setakat 4.34 petang, harga saham Media Prima menyusut 1.11% kepada 0.445 sen. - DagangNews.com