Tindakan Serba Dinamik 'sudah memadai' - MICG | DagangNews Skip to main content

Tindakan Serba Dinamik 'sudah memadai' - MICG

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) melihat pelantikan Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn. Bhd. oleh Serba Dinamik Holdings Bhd. bagi menyelesaikan kemelut auditnya, sebagai 'sudah memadai'. 

 

"Sama ada ia akan bersetuju dengan cadangan KPMG atau tidak, kedua-dua pandangan yang dikemukakan sepatutnya diberikan juga kepada pemegang saham. 

 

"Lembaga Pengarah (terutamanya pengarah bebas) pula seharusnya menyatakan pandangan mereka," menurut Timbalan Presidennya, David W Berry kepada DagangNews.com ketika diminta mengulas mengenai langkah terkini yang diambil Serba Dinamik itu.

 

 

David W Berry
David W Berry

 

 

Semalam, syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu mengumumkan pelantikan firma audit EY sebagai penilai bebas ke atas ketepatan dan kebenaran perkara-perkara yang dibangkitkan oleh KPMG.

 

Tiga anggota Lembaga Pengarah baharu yang dilantik ialah Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, 65, yang merupakan pengerusi eksekutif Koperasi Amanah Pelaburan Bhd, Hartanah AP Rakyat Bhd, CTG Capital Sdn Bhd, HAF Automotive Sdn Bhd, AP Holdings Bhd dan Awesome TV (subsidiari Awesome Media Network Sdn Bhd).

 

Yang kedua ialah Johan Mohamed Ishak, 46, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd (2017-2020) dan bekas CEO MyCreative Ventures Sdn Bhd, entiti pelaburan milik Kementerian Kewangan (2012-2017).

 

Sementara itu, yang ketiga ialah Masleena Zaid, 46, merupakan seorang peguam dan pernah menjadi pendakwa raya di Suruhanjaya Sekuriti dari 2001 hingga 2007. Beliau kini adalah rakan kongsi pengurusan di firma tetuan Masleena, Yee & Partners selain menjadi pengarah bebas bukan eksekutif di AP Holding Bhd dan Eastland Equity Bhd. 

 

Baca : Baca : Ernst & Young dilantik jadi penilai bebas Serba Dinamik, 3 Lembaga Pengarah baru

 

Baca : MSWG : Tindakan Serba Dinamik mampu 'kembalikan' keyakinan pelabur

 

Bagaimanapun, menurut David, sama ada langkah ini dapat menyelesaikan isu pertikaian audit tersebut (dengan KPMG), adalah sukar untuk dijelaskan memandangkan ia bergantung kepada cadangan yang dikemukakan EY.

 

Dalam hal ini, beliau menegaskan, MICG masih mengekalkan pendiriannya bahawa mana-mana pengarah yang juga pemegang saham tidak sepatutnya dibenarkan menyertai undian pemegang saham berhubung isu berkenaan atau pemilihan juruaudit syarikat. 

 

"Sebelum ini, Serba Dinamik mencadangkan untuk menukar juruauditnya kepada BDO, tetapi masih belum mempunyai sebarang kata putus. Pelantikan EY ini tertakluk kepada perincian yang dimuktamadkan.

 

"Bagaimanapun, kedua-dua firma ini haruslah cekap," kata beliau.

 

Jelasnya, apa yang menjadi faktor utama sekarang adalah skop nasihat yang diperlukan yang mana khusus kepada isu audit seperti dibangkitkan KPMG.

 

Sehubungan itu, David berkata, sebarang cadangan EY yang bebas sepatutnya menerapkan standard profesional seperti yang diharapkan mana-mana juruaudit lain dalam menilai pendiriannya dalam isu audit berkenaan. 

 

"Sebarang perbezaan akan mengambil kira semua faktor, dan ini tidak sepatutnya melibatkan audit semula secara menyeluruh terhadap syarikat," katanya. 

 

Konflik Serba Dinamik timbul sejak 3 minggu berhubung audit kewangan tahun 2020 yang dibangkitkan juruauditnya, KPMG melibatkan transaksi meragukan lebih RM3 bilion. 

 

Susulan itu, pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib yang juga pemegang saham kedua terbesar Serba Dinamik pada 28 Mei lalu mengemukakan notis kepada syarikat untuk menukar KPMG kepada BDO dengan mengadakan mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM).

 

Namun, Abdul Kadier membatalkan cadangan itu setelah mempertimbangkan dengan sewajarnya kebimbangan yang dibangkitkan pemegang saham dan pihak berkepentingan. 

 

Tindakan itu menyebabkan Serba Dinamik kehilangan berbilion ringgit dalam pasaran modal malah agensi penarafan turut menurunkan penarafan masing-masing. - DagangNews.com