TIV akhir tahun diunjur kekal pada paras semasa : CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

TIV akhir tahun diunjur kekal pada paras semasa : CGS-CIMB

TIV akhir tahun diunjur kekal pada paras semasa : CGS-CIMB

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov -   CGS-CIMB Research menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) industri automotif pada November dan Disember 2021 akan kekal pada paras semasa berdasarkan pelancaran model baharu, promosi akhir tahun dan tempahan yang tertunggak. 

 

Firma itu turut mengekalkan pendirian neutralnya terhadap industri, dengan Sime Darby sebagai pilihan utamanya berdasarkan pendedahan geografinya yang pelbagai dan sebagai proksi kepada harga arang batu kok yang kukuh. 

 

“TIV meningkat 43 peratus bulan ke bulan kepada 63,489 unit pada Oktober berbanding 44,275 unit pada September berikutan jualan segmen kenderaan penumpang dan kenderaan komersial (CV) yang tinggi, apabila syarikat meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan untuk memenuhi tempahan yang tertunggak. 

 

“Jumlah pengeluaran turut naik 42 peratus bulan ke bulan kepada 65,410 unit, merupakan jumlah pengeluaran bulanan tertinggi setakat ini pada tahun ini,” menurut CGS-CIMB Research dalam nota penyelidikan hari ini.  

 

Sementara itu, bahagian pasaran Perodua merosot 4.4 mata peratusan tahun ke tahun kepada 38.4 peratus setakat ini pada tahun ini berikutan penurunan jumlah jualan sebanyak 14.5 peratus tahun ke tahun disebabkan sekatan pergerakan dan kekurangan cip.  

 

Proton mencatatkan penurunan jumlah jualan yang kecil sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun dalam tempoh 10 bulan pertama 2021, sebahagian besarnya berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen SUV, membantu mengimbangi jumlah jualan yang rendah dalam segmen kereta penumpang dan MPV. 

 

Bagi tempoh 10 bulan, TIV turun 4.8% tahun ke tahun kepada 382,363 unit, terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah daripada segmen kenderaan penumpang (PV). 

 

TIV untuk 10 bulan pertama 2021 membentuk 76% daripada ramalan 500,000 TIV setahun penuh CGS-CIMB. 

 

"Ini secara amnya selaras dengan jangkaan kerana kami menjangkakan purata 60,000 TIV/bulan pada Nov-Dis 21. 

 

"Segmen PV mencatatkan penurunan 6.9%  tahun ke tahun pada 10 bulan 2021  terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah bagi kereta penumpang, MPV dan van," katanya.

 

Bagaimanapun, menurut CGS-CIMB ia sebahagiannya diimbangi oleh jualan yang lebih kukuh dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), yang meningkat 41% tahun ke tahun pada 9 bulan pertama 2021 terutamanya disebabkan pelancaran baharu daripada Perodua, Proton dan Toyota. -DagangNews.com